Selangor yang sebelum ini kelihatan cukup berminat untuk merekrut tonggak utama skuad kebangsaan, Mohammadou Sumareh telah membuat ‘pusingan U’ apabila pemain kelahiran Gambia itu dikatakan tiada dalam perancangan kelab Lembah Klang tersebut.
Sumareh meninggalkan Pahang selepas mengaktifkan klausa 8.7 yang mengakibatkan kontrak beliau bersama Pahang telah terbatal selepas pasukan tersebut dikatakan gawal membayar gaji mengikut perjanjian ditetapkan kedua-dua pihak.
Sehubungan dengan itu beliau memilih untuk berkelana ke Bangkok, Thailand untuk merasai pengalaman di sana setelah memeterai kontrak pinjaman selama enam bulan bersama Police Tero FC. Kelab yang turut diwakili seorang lagi pemain dari Malaysia, Dominic Tan.
Sebelum ini, heboh diperkatakan tentang usaha Selangor untuk memancing pemain naturalisasi pertama itu ke dalam pasukan dengan butiran kontrak juga telah menjadi tatapan peminat bola sepak tanah air di laman sosial tetapi perkembangan terbaharu itu telah mengubah segalanya.
Perkembangan berhubung isu Sumareh ini disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menurut sumber laporan dikeluarkan Berita Harian (BH) Online.
“Bukan kita mahu katakan yang Sumareh tidak bagus, dia pemain yang baik dan bertaraf kebangsaan. Tetapi dia tiada dalam perancangan kita untuk musim depan.”
“Kita berfikir mungkin lebih baik kalau kita mencari pemain lain yang memiliki kualiti sama atau lebih baik berbanding Sumareh,” ujar Shahril Mokhtar.
Dengan penjelasan yang telah dibuat itu menyaksikan pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia 2021 pastinya cukup ‘berlumba-lumba’ untuk mendapatkan khidmat pemain lincah tersebut.
Kredit featured image: How Foo Yeen/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mohammadou Sumareh:
RASMI: Mohamadou Sumareh Diumum Pemain Baharu Police Tero FC