Saingan Liga M3 memasuki minggu keenam dengan saingan semakin sengit bagi memburu kedudukan teratas liga.
Dengan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) terus mendahului liga, mereka bagaimana pun tidak senang duduk di puncak kerana dua pasukan mula menghimpit mereka.
Semua ini kerana mereka tidak beraksi selepas perlawanan mereka menentang Sarawak United ditunda ke bulan Julai.
Penundaan perlawanan tersebut memberikan peluang kepada Harini dan Bukit Tambun merapatkan jurang dengan Rovers kepada dua mata sahaja.
Semua ini berlaku selepas Harini berjaya menewaskan BRM dengan jaringan 3-1 di laman sendiri.
Jaringan berganda S. Chanturu serta gol oleh Norshahrul Idlan Talaha memberikan tiga mata buat Harini dengan Aminuddin Abu Bakar sekadar mencetak sagu hati buat BRM.
Bagi Bukit Tambun pula, walaupun berjaya merapatkan jurang mereka sebenarnya kalah kepada PIB menerusi gol tunggal Farez Aiman di minit ke-85.
Aksi tumpuan adalah pada Ahad dimana Imigresen berjaya memperoleh tiga mata menentang Manjung City di Serdang.
Kemenangan 2-1 itu hadir bukanlah dengan cara mudah walaupun Imigresen berjaya mendahului menerusi jaringan Azim Rahim pada minit ke-14.
Manjung kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Asyraaf Mat Pushni pada minit ke-33 sebelum gol minit akhir memberikan tiga mata untuk Imigresen.
Jaringan Hazim Abu Zaid pada minit ke-90+4 memastikan tiga mata milik Imigresen.
Berikut merupakan keputusan-keputusan lain untuk minggu keenam Liga M3:
- Melaka 1-1 Malaysia University (Fakrul Aiman 18’/Idris Ahmad (GS) 90+2′)
- Naga Ultimate 0-8 Perlis United (Amir Adha 21′, Sadam Hashim 45+2, 54′, 84′, Suthan Moorthy (GS) 56′, Ikmal Ibrahim 80′, 81′, 89′
- Armed Forces T-T SAINS (perlawanan ditunda ke 2 Julai 2023)
- Sarawak United T-T KL Rovers (perlawanan ditunda ke 2 Julai 2023)
Rapat di puncak
Selepas enam perlawanan, kedudukan di bahagian atas liga sememangnya rapat dengan KL Rovers kekal tidak kalah dengan rekod 100% bersih di puncak.
Selain Imigresen dan Harini yang rapat mengejar, terdapat Bukit Tambun, SAINS, Perlis United dan Malaysia University yang berada dalam kelompok yang cuba merapati pendahulu liga.