Celtic menentang Rangers boleh dikatakan sebagai antara perlawanan derby antara yang terhangat dan teristimewa di dunia.
Dengan 100 kejuaraan liga, 69 kejuaraan Scottish Cup dan 42 gelaran Scottish League Cup antara dua pasukan ini, The Old Firm Derby sentiasa menjadi tumpuan dunia.
Sedangkan aksi liga bola sepak Scotland kebiasaannya bukanlah liga bola sepak tumpuan peminat global.
Apa yang menjadi menyebabkan Celtic dan Rangers bermusuh?
1. Katolik vs Protestan
Pendatang Irish dari Ireland yang beragama Kristian Katolik rata-ratanya memilih bandar Glasgow sebagai tempat memulakan kehidupan baru selepas Ireland dilanda Potato Famine.
Untuk pengetahuan anda, peristiwa Potato Famine berlaku pada 1845–1852. Pada tempoh ini, tanaman kentang yang menjadi makanan ruji orang Irish (kerana murah) dilanda penyakit, hingga menyebabkan seluruh penduduk Ireland kebuluran.
Jika anda masih ingat, novel Potato People tulisan Angela Wright pernah dijadikan komponen sastera Bahasa Inggeris Tingkatan Dua. Novel ini menceritakan bagaimana ada orang Ireland terpaksa makan bangkai anjing semata-mata untuk hidup.
Potato Famine mengorbankan 1 juta orang. Manakala 1 juta lagi terpaksa berhijrah ke negara lain – antaranya ke Boston, Kanada, Australia, Liverpool dan juga Glasgow seperti yang dilakukan oleh nenek moyang penyokong Celtic.
Walaupun mazhab Kristian utama di Glasgow adalah Katolik, ramai warga British yang datang mencari kerja di Glasgow bermazhabkan Protestan.
Ini menimbulkan konflik dan pergeseran antara dua mazhab.
Persaingan untuk mendapatkan kerja dilihat berat sebelah, kerana kebanyakan majikan mempunyai polisi tidak menggaji pekerja bermazhab Katolik.
Pendatang Irish-Katolik terpaksa menerima cacian, berhadapan dengan sentimen anti-Irish dan anti-Katolik sepanjang hidup mereka di bandar Glasgow.
Untuk mengurangkan tekanan diskriminasi warga British, pendatang Irish-Katolik memilih sukan sebagai medium untuk mengekspreskan jati diri dan identiti mereka.
Dan pada 6 November 1887, Celtic FC ditubuhkan dan secara tidak langsung menjadi musuh kepada Rangers FC yang ditubuh 15 tahun sebelum mereka, iaitu pada Mac 1872.
2. Loyalist vs Republican
Krisis politik juga mendorong kepada permusuhan dua pasukan ini. Tragedi The Troubles merupakan salah sebuah tragedi hitam yang pernah berlaku kepada United Kingdom.
Secara asasnya, The Troubles adalah peristiwa dimana Ireland – sebuah negara republik – mahukan Ireland Utara – sebuah negara di bawah naungan United Kingdom – untuk keluar dari naungan tersebut dan menyertai mereka membentuk sebuah negara republik baru iaitu ‘United Ireland’.
Namun idea penyatuan bangsa Irish yang bermazhab Katolik ini ditentang oleh penganut Kristian-Protestan yang didokong oleh kerajaan pusat British di England.
Untuk mempertahankan ketuanan mazhab Protestant di United Kingdom, sebuah organisasi yang dinamakan Orange Order ditubuhkan.
Orange Order juga menentang idea pembentukan negara merdeka untuk bangsa Scotland semasa pilihanraya umum Scotland pada 2014.
3. Sentimen Sectenarian
Sentimen sectenarian adalah permusuhan sosio-politik antara dua kumpulan yang secara luarannya nampak sama tetapi berbeza pendapat antara satu sama lain.
Contohnya orang Islam mazhab Syiah vs Sunni. Orang luar mungkin menganggap Syiah dan Sunni adalah kumpulan Muslim yang sama, tetapi hakikatnya mereka ada perbezaan pendapat.
Contoh lain adalah seperti orang Northern Ireland yang berfahaman Nationalist vs Unionist.
Dalam situasi di Glasgow, penganut Kristian mazhab Katolik dan Protestant pula saling berbalah sesama sendiri.
Setiap kali perlawanan Old Firm, penyokong kedua-dua kelab akan menayangkan kain rentang berunsur sectenarian dan menyanyikan lagu-lagu provokasi.
Puncak sectenarian dalam Old Firm Derby
Sentimen ini menemui kemuncaknya pada perlawanan akhir Scottish Cup 1980.
Sejurus wisel penamat dibunyikan, penyokong beramai-ramai meluru ke padang Hampden Park.
Lazimnya hanya penyokong pasukan yang menang sahaja akan turun untuk meraikan kejayaan. Namun kali ini tidak, kerana penyokong kedua-dua pasukan turun untuk bergaduh!
Menyedari sentimen ini akan terus memberi impak buruk pada bandar Glasgow, Parlimen Scotland bersama-sama Celtic FC dan Rangers FC sendiri berusaha untuk menghapuskan sentimen sectenarian ini.
Celtic melancarkan kempen ‘Bhoys against Bigotry’ dan Rangers melancarkan kempen ‘Pride Over Prejudice’ sebagai langkah mengatasi masalah ini.
4. Peristiwa menarik Old Firm Derby
1) Scottish League Cup 1957:
Celtic menang di perlawanan akhir dengan jaringan 7-1. Rangers yang diangkat sebagai pasukan pilihan ketinggalan 2-0 di separuh masa, dan terus bolosi 5 gol dalam 45 minit separuh masa kedua.
2) Scottish Cup 2002:
Rangers bangkit sebanyak dua kali selepas Celtic mendahului sebanyak dua kali di perlawanan akhir.
Peter Lovenkrands menjaringkan gol kemenangan untuk Rangers menang 3-2.
3) Pengurus Celtic pertama bermazhab Protestan:
Jock Stein merupakan pengurus Celtic yang membawa Celtic menjuarai gelaran liga sebanyak 9 kali berturut-turut. Celtic juga menjadi pasukan pertama di Britain menjuarai gelaran Eropah ketika Stein menjadi pengurus.
Menariknya, beliau merupakan seorang Protestant.
4) Pemain Rangers bermazhab Katolik yang pertama:
Mo Johnston merupakan pemain Katholik pertama yang bermain untuk Rangers. Beliau dibeli semasa Graeme Souness menjadi pemain-pengurus untuk Rangers.
Johnston juga merupakan bekas pemain Celtic sebelum ke Nantes di Perancis. Kemudian dari Nantes, beliau bermain untuk Rangers pula.
Perpindahannya membuatkan penyokong kedua-dua pasukan berang, dengan penyokong Celtic menggelarnya ‘Judas’. Penyokong Rangers pula mengugut untuk mengembalikan pas bermusim mereka.
Namun Johnston berjaya menawan hati peminat Rangers, dengan menjaringkan gol minit akhir ke atas Celtic untuk membolehkan mereka menyamai rekod kejuaraan liga 9 kali berturut-turut Celtic.
5) Kontroversi Gascoigne:
Pemain Rangers dan England, Paul Gascoigne melakukan kontroversi apabila melakukan gaya bermain seruling ketika perlawanan menentang Celtic.
Gaya yang sinonim dengan gerakan Orange Order itu membangkitkan kemarahan penyokong Celtic sehingga menyebabkan Gascoigne menerima ugutan bunuh.
5. Kesimpulan
Old Firm Derby merupakan permusuhan yang terjadi sejak lamanya atas pelbagai sebab antaranya politik, mazhab agama dan semestinya kerana mereka berjiran.
Walaupun perlawanan ini merupakan perlawanan terbesar di Scotland, namun anda tidak akan jumpa bendera Scotland kerana penyokong Celtic dan Rangers lebih gemar mengibarkan bendera Ireland dan Union Jack.
Bagi Celtic, Rangers kini ibarat kelab yang ‘baru’ dek kerana mereka diturunkan liga kerana masalah kewangan.
Namun bagi Rangers, Celtic seolah obses kepada mereka kerana sering mengejek mereka dengan gelaran ‘kelab baru’.
Baca juga: Mengapa Peningkatan Rangers Bakal Menguntungkan Celtic Dan Scotland