Antonio Conte telah menunjukkan satu petanda jelas bahawa beliau akan menjadikan formasi bek bertiga sebagai asas pasukan. Setakat ini, beliau lebih cenderung dengan formasi 3-4-3 berbanding dengan skim 3-5-2 ketika di Juventus dan Itali.
Siapa Yang Memulakan?
The Telegraph menyatakan Roberto Martinez sebagai pelopor sistem ini dalam liga Inggeris ketika mengambil alih tugas pengurus Wigan daripada tangan Steve Bruce.
Pada musim 2009/10, Martinez dan Wigan menggunakan formasi 3-4-3 dengan Figueroa, Titus Bramble dan Gary Caldwell sebagai trio di bek.
Namun pada ketika itu, ramai pengulas menjelaskan Martinez sebagai bermain pertahanan berlima. Sebenarnya, pertahanan rantaian berlima (chain of 5) itu dibentuk daripada 2 bek sayap yang akan turun ke bawah untuk bertahan.
Ia adalah sub tatkikal ataupun formasi sekunder. Martinez boleh dikatakan berjaya mewujudkan sistem yang memberikan ancaman.
Sistem Bek Bertiga Di Liverpool
Seterusnya adalah Kenny Dalglish yang mulai menggunakan 3-5-2 dalam separuh kedua musim 2010/2011. Hasilnya agak memberangsangkan dan membuatkan Kenny Dalglish diberikan kontrak tetap selepas itu.
Selepas itu, formasi bek bertiga ini tidak begitu banyak digunakan sehinggalah Brendan Rodgers mengambil alih Liverpool pada 2012.
Rogders menggunakan pendekatan 3-4-3/3-4-2-1 Rodgers telah mebuatkan beliau menikmati 13 perlawanan tanpa kalah. Rodgers mengakui beliau menjadikan asas taktikal Martinez sebagai inspirasi dan motivasi bahawa taktikal bek bertiga ini boleh berjaya di EPL.
Manchester United Di Bawah Van Gaal
Tidak lama selepas itu, Manchester United melantik Louis Van Gaal yang digelar pakar atau ‘master’ dalam subjek bek bertiga ini.
Van Gaal walaubagaimanapun tersepit dengan ketidaksesuaian pemain yang beliau miliki untuk memahami kehendak taktikal tersebut.
Van Gaal juga sukar untuk membina asas taktikal ini kerana DNA taktikal 4-4-2 Alex Ferguson masih terlalu kuat di Old Trafford.
Van Gaal akur dan terpaksa melupakan sistem bek trio ini. Sekali sekala beliau mencuba menggunakannya, namun hasilnya tetap sukar.
Hingga satu ketika penyokong Manchester United melancarkan kempen untuk menjerit 4-4-2 setiap kali Van Gaal cuba menggunakan sistem bek bertiga ini.
Van Gaal membalas dengan menyatakan dia rasa ‘panas punggung’ apabila pasukannya bermain dengan bek berempat.
Statistik 22 perlawanan pertama Louis Van Gaal menunjukkan sistem bek bertiga beliau memang lebih lemah berbanding sistem bek berempat.
Conte Dan Chelsea
Pada hari ini, dalam EPL, Antonio Conte sudah ada 3 kemenangan daripada 3 perlawanan dalam EPL dengan sistem ini. Namun begitu, beliau tewas dalam perlawanan EFL kepada West Ham dengan formasi ini.
Sebelum ini terdapat cubaan oleh jurulatih untuk membias kembali (mirroring) formasi ini. Pada Piala Eropah yang lalu, Joachim Loew menggunakan pendekatan mirroring atau pendekatan reflektif ini dan Jerman berjaya menekan Itali.
Anda boleh baca analisis lama kami untuk perlawanan Jerman vs. Itali.
Baca juga : Analisis Taktikal Piala Eropah 2016 : Jerman vs Itali
Pada perlawanan menentang Leicester City, Claudio Ranieri cuba menggunakan pendekatan formasi reflektif ini pada separuh masa kedua dengan sistem bek bertiga namun Conte berjaya menang.
Tiba ke perlawanan peringkat 16 pasukan Piala EFL, Slaven Bilic turut menggunakan pendekatan mirroring atau kami sebut ia bias kembali formasi Conte. Hasilnya luar biasa, West Ham menang 2-1.
Di bawah ini adalah formasi asas kedua-dua pasukan ketika pertemuan dalam Piala EFL tengah minggu lalu.
Pendekatan bias kembali ini lebih kepada usaha untuk mewujudkan 1v1 di semua kotak atau zon. Ia juga untuk memastikan pertarungan lebih teknikal.
Seorang lagi jurulatih yang memiliki rekod pengurusan sistem bek bertiga yang baik adalah Walter Mazzari ketika menguruskan Napoli. Beliau juga kerap menggunakan sistem ini di EPL musim ini.
Isu Pemahaman Taktikal Oleh Pemain
Selain daripada isu berhadapan dengan pasukan yang ada kemampuan untuk membias formasi ini, saya juga merasakan Chelsea masih ada masalah asas biarpun mereka cemerlang dengan sistem ini setakat ini.
Misalnya cara Moses bermain bek sayap yang terlalu cepat untuk masuk ke dalam. Ia menyerupai sistem false fullback Guardiola.
Namun, dalam kes Moses, saya lebih menilai ia isu pemahaman kepada peranan bek sayap. Mujurlah Chelsea ada pemain seperti Kante dan Matic yang kian meningkat dalam formasi 3-4-3/3-4-2-1 ini.
Secara keseluruhannya, Chelsea bermain baik dengan sistem ini. Mereka lebih fluid dan lebih mengancam.
Siapa Akan Menjadi Bek Tengah-Perancang ?
Buat masa ini, Azpilicueta kelihatan memegang peranan sebagai bek tengah-perancang (center back-playmakaer) seperti yang dilakukan Bonucci.
Beza sistem Conte dengan pengurus lain yang pernah menggunakan sistem ini di EPL adalah, beliau mahukan bek tengah-perancang (center back-playmaker).
Dari segi posisi, peranan Bonucci sepatutnya dimainkan oleh Luiz. Namun dari segi sumbangan hantaran, statistik menunjukkan ia dimainkan oleh bek tengah sebelah kanan.
Ini adalah gambaran bagaimana Azpilicueta menjadi penghantar utama dari blok rendah.
Ini adalah statistik Azpilicueta dan David Luiz. (biru – hantaran berjaya, merah – hantaran gagal)
Anda akan dapati, Azpilicueta lebih banyak menghantar bola dalam sistem ini. Chelsea sebelum ini dilaporkan gagal mendapatkan Bonucci. Maka Conte memerlukan seorang pemain yang boleh menghantar bola dari garisan blok paling rendah.
Azpilicueta calon terbaik kerana beliau bole bermain bek tengah. Namun dalam perlawanan menentang West Ham tempoh hari ada usaha untuk menukarkan peranan itu kepada David Luiz.
Adakah ini bermaksud, Azpilicueta cuma rancangan sementara untuk memberikan Luiz benar benar kefahaman tentang peranan Bonucci ini. Jika selesai, mungkin Azpilicueta akan ditolak ke bek sayap.
Selain itu John Terry sudah cergas untuk kembali dalam pasukan utama untuk membentuk trio Luiz-Cahill-Terry. Namun ini hanya teori saya sahaja.
Beberapa perlawanan akan datang pastinya menarik untuk mengetahui siapakah yang akan menjadi pemain utama dalam sistem 3-4-3 ini dan siapakah yang akan memegang peranan Bonucci dalam bek bertiga.
John Terry dalam proses untuk menyesuaikan diri dalam sistem ini. Maka buat masa ini, adalah tidak adil untuk memberikan kesimpulan awal sama ada beliau sesuai atau tidak bermain sistem ini.
Pada masa yang sama, rekod Conte menunjukkan beliau agak sukar untuk berhadapan dengan pasukan yang membiaskan kembali / mirrorring formasi beliau. Isu ini mungkin harus dipandang serius oleh Conte.
Baca juga : Analisis Taktikal EPL 2016/17: 3-4-3 Conte Bunuh Sistem Lemah Jose Mourinho