“Saya pilih saya.” Itulah jawapan bekas Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim ketika menjawab soalan peminat di media sosial mengenai calon ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baharu.
Bagaimana pun Teong Kim yang juga merupakan bekas pemain Kuala Lumpur itu juga mengesahkan dirinya tidak dihubungi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe itu.
Senarai calon FAM
Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan FAM telah menyenarai pendekkan calon ketua jurulatih yang baharu yang kesemuanya adalah dari Korea Selatan.
Calon utama pilihan FAM dipercayai adalah Kim Pan-gon yang merupakan bekas pengendali Hong Kong, dan turut dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu.
Jurulatih dari Korea Selatan jadi pilihan FAM. Difahamkan, Ketua Jawatankuasa Penyeliaan skuad kebangsaan Korea Selatan Kim Pan-Gon yang juga bekas jurulatih Hong Kong jadi pilihan ketika Park Jin-Seop, Kim Hak-Bum dan Kim Byung-Soo turut dicadangkan jadi calon pengendali negara.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 15, 2022
Kim kini adalah ketua komuniti jawatankuasa khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang betanggungjawab melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.
Turut berada di dalam radar FAM adalah bekas ketua jurulatih skuad B-23 Korea Selatan, Kim Hak-bum.
Kim Hak-bum adalah jurulatih yang bertanggungjawab membawa skuad Korea Selatan yang turut membariskan Son Heung-min mememangi pingat emas Sukan Asia pada 2018. Dua tahun kemudian beliau membawa Korea Selatan muncul juara Piala AFC B-23.
Dua calon lain yang turut dikaitkan dengan kerusi panas itu adalah bekas pemain pertahanan Korea Selatan, Park Jin-seop dan Kim Byung-soo yang kini merupakan pengendali Gangwon FC.
Pengkritik setia
Teong Kim sebenarnya adalah antara pilihan popular di kalangan peminat bola sepak tempatan untuk membimbing pasukan negara selepas peletakan jawatan Tan Cheng Hoe awal Januari lalu.
Sentiasa lantang mengkritik FAM dan struktur bola sepak negara, bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu kini tidak membimbing mana-mana pasukan sejak gagal menepati sasaran yang diletakkan beliau sendiri untuk membawa skuad B-16 negara ke Piala Dunia B-17 pada 2020 yang lalu.