Pengurus Juventus, Maurizio Sarri mengatakan cara terbaik untuk menghargai Gianluigi Buffon yang telah memecahkan rekod penampilan terbanyak Serie A hanyalah dengan memberi tepukan gemuruh buat penjaga gol veteren tersebut.
Buffon beraksi dalam perlawanan ke-648 liga utama di Itali ketika Juventus meraih kemenangan 4-1 ke atas Torino dalam Derbi Turin dengan memecahkan rekod yang sebelum ini disandang oleh legenda AC Milan, Paolo Maldini.
Memandangkan Lazio tewas kepada Milan, skuad kendalian Sarri itu kini semakin selesa mendahului carta Serie A dengan kelebihan tujuh mata ketika saingan berbaki lapan perlawanan.
648 non è un numero ma una vita intera
— Gianluigi Buffon (@gianluigibuffon) July 5, 2020
Una vita con due guanti
Una vita tra due pali
Una vita fatta di tante sfide
E la sfida più bella deve ancora venire
648 volte grazie.#648UFFON pic.twitter.com/hhVjBo1BqU
Apabila diminta untuk memberi komen tentang kejayaan Buffon yang juga telah menandatangani lanjutan kontrak selama setahun, Sarri mengatakan tiada perkataan yang boleh menggambarkan kehebatan pemain berusia 42 tahun itu.
“Semua orang sewajarnya mengucapkan tahniah kepada Buffon dengan apa yang telah dia lakukan untuk kariernya,” ujar Sarri ketika sidang media.
“Dia adalah legenda. Tiada sebarang kata-kata diperlukan, berikan sahaja tepukan kepadanya. Lihat sahaja nombor [jumlah penampilan] yang dia miliki.”
Buffon beraksi untuk Parma selama enam musim dengan membuat 168 penampilan Serie A sebelum menyertai Juventus pada 2011. Beliau kemudian meninggalkan kelab Turin tersebut untuk menyertai Paris Saint-Germain pada 2018 selama semusim sebelum kembali ke Juventus pada musim ini.
6️⃣4️⃣8️⃣ #648uffon #Record pic.twitter.com/Rlv36VsLL1
— Gianluigi Buffon (@gianluigibuffon) July 4, 2020
Beliau juga mencatatkan 37 penampilan di Serie B selepas Juventus disingkirkan dari liga utama ekoran skandal mengatur perlawanan pada 2006.
Mengenai keputusan Sarri mengeluarkan Pjanic semasa rehat separuh masa, Sarri menegaskan ianya tiada kaitan dengan perpindahannya ke Barcelona, tetapi disebabkan layangan kad kuning yang telah diterimanya.
“Pjanic telah menerima kad kuning dan saya melihat beliau mungkin tidak berada pada prestasi terbaiknya dalam perlawanan ini sehingga menyebabkan sepakan penalti diberikan kepada Torino.
“Sebab itulah saya memutuskan untuk menggantikannya. Saya tak mahu mengambil risiko sehingga dia dibuang padang.”
Saksikan koleksi video aksi menyelamat Buffon sepanjang kariernya di sini:
The Legend continues… 🤍🖤 #648UFFON pic.twitter.com/dRTs8g6hP2
— JuventusFC 🇬🇧🇺🇸 (@juventusfcen) July 5, 2020