Sebentar tadi, media rasmi Sarawak United telah pun mengeluarkan kenyataan baharu mengenai keadaan semasa pasukan yang boleh dianggap sangat menyedihkan.
Sarawak yang tampil sebagai salah satu pasukan paling bermasalah musim ini dalam saingan Liga Super jelas dilihat gagal untuk menyelesaikannya sehingga kini.
Antara kemelut yang melanda pasukan itu pastinya berkenaan pengurusan yang dilihat tidak konsisten serta masalah gaji dalam kalangan para pemain.
Malah, mereka juga tersingkir lebih awal semalam dalam saingan Piala Malaysia di tangan naib juara Liga Premier 2022, Kelantan dengan keputusan agregat 2-1 di Kota Bharu.
KEPUTUSAN MASA PENUH – PM R16-2
Sabah FC dan Kelantan FC mara ke peringkat suku akhir !#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/3Try3OdQPJ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 31, 2022
Sebelum itu lagi, Sarawak United juga gagal memberi aksi lebih menyakinkan dalam saingan Liga Super apabila menamatkan cabaran di kedudukan ke-11 menerusi lima kemenangan sahaja daripada 22 perlawanan.
Terbaharu, pasukan tersebut telah pun membuka jawatan kosong kepada mana-mana individu yang berminat untuk menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS)
Jelas kenyataan tersebut, Dato Posa Majais kini mengalu-alukan kepada sesiapa yang berminat untuk menggantikan kedudukan beliau sebagai Presiden FAS sekali gus sebagai Pengerusi Sarawak United.
Selain itu, Posa juga menjelaskan diri beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai pelesenan kelab serta memastikan semua urusan dalaman kelab berjalan lancar.
“Saya sangat mengalu-alukan individu yang berminat dan berhasrat menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) merangkap Pengerusi Sarawak United (SUFC) untuk datang ke pejabat dan berjumpa dengan pihak pengurusan tertinggi bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini.
“Berkenaan dengan pelesenan kelab, saya selaku Presiden akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kesemua urusan tadbir berjalan lancar.
“Sekiranya keputusan samaada lulus atau tidak perlesenan kelab untuk tahun hadapan 2023, bagi pihak SUFC dengan rendah diri akan akur dengan keputusan jawatankuasa rayuan sekiranya terpaksa bermain di liga divisyen kedua,” jelas Posa menerusi kenyataan itu.
Pada masa sama, Posa juga mengingatkan kepada bakal pengganti beliau harus bertanggungjawab juga untuk menjaga lima pasukan lain iaitu kelab senior, bawah 23 (B-23), bawah 20 (B-20), futsal lelaki dan wanita yang memerlukan perbelanjaan besar.
📹 HIGHLIGHTS: @kelantanfc_trw 1-1 @sufc_rasmi
Kelantan FC mara ke suku akhir 2-1 secara agregat. Nurshamil Abd Ghani membuka tirai jaringan namun Raja Imran Shah berjaya mengikat kedudukan buat Sarawak United.#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/TOl0IY1hur
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 31, 2022
“Urus tadbir semua pasukan SUFC memerlukan dana kewangan yang besar bagi memastikan semua pasukan beraksi dalam penganjuran Liga Malaysia (Liga-M).
“Turun naik sesebuah pasukan tidak mustahil menjadi pemangkin semangat kami untuk kembali ke kancah Liga Super 2024, InsyaAllah,” tambah beliau.