Sah Sertai Dortmund, Apakah Punca Bellingham ‘Lari’ Dari Manchester United?

Jude Bellingham Borussia Dortmund

Spekulasi mengenai penyertaan Jude Bellingham bersama Borussia Dortmund akhirnya terjawab selepas pemain muda England itu disahkan diikat dengan yuran perpindahan £25 juta (RM134 juta) dengan kontrak jangka panjang dari Birmingham City.

Pemain tengah berusia 17 tahun itu yang telah melengkapkan pemeriksaan perubatan pada Khamis dilaporkan akan menerima beberapa bonus lain bergantung kepada penampilan dan pencapaian bersama kelab Bundesliga tersebut.

BVB ternyata beruntung berjaya membawa masuk Bellingham selepas pemain itu turut dipancing pasukan Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang telah memantau perkembangannya sejak sekian lama.

https://twitter.com/BlackYellow/status/1285137895712600064?s=20

Timbul persoalan mengapa kapten skuad England bawah 17 tahun (B-17) itu menolak untuk menyertai The Red Devils sekalipun beliau dan keluarganya sebelum ini pernah dibawa melawat Kompleks Latihan Aon di Carrington dan dipertemukan dengan legenda kelab, Sir Alex Ferguson.

Bukan lagi satu rahsia, jurulatih dan pasukan pencari bakat United telah memantau perkembangan pemain tengah itu sejak lebih dua tahun dan telah membina hubungan yang baik dengan keluarganya.

Secara dasarnya, Bellingham mungkin boleh mendapat wang yang jauh lebih banyak sekiranya mengambil keputusan untuk kekal di England dan berpindah ke Manchester, tetapi ada beberapa faktor yang menyebabkan beliau keberatan apabila mengambil kira perkembangan kariernya.

Dengan keberadaan Paul Pogba di Old Trafford yang tentunya akan terus menjadi pilihan utama, peluang Bellingham untuk mendapatkan minit permainan yang tinggi tentunya sukar.

Tambahan pula di posisi yang sama ada pemain-pemain lain seperti Scott McTominay, Nemanja Matic dan Fred yang semuanya bersaing hebat bagi merebut tempat di bahagian tengah United di samping Pogba dan Bruno Fernandes.

Sekiranya Solskjaer meneruskan niatnya untuk membawa masuk Jack Grealish pada musim panas ini, Bellingham mula tertanya-tanya adakah beliau akan mendapat peluang untuk bermain secara kerap dalam kesebelasan utama.

https://twitter.com/SPaddockFC/status/1237056887490785285?s=20

Borussia Dortmund pula sudah terbukti mempunyai program yang perancangan yang baik untuk setiap pemain muda yang direkrut dengan Jadon Sancho yang juga menyertai pasukan berkenaan pada usia 17 tahun menjadi contoh terbaik.

Dalam tempoh tiga musim, Sancho telah beraksi 99 perlawanan dalam semua pertandingan dan merekodkan 34 gol serta 43 bantuan jaringan yang menjadikannya pemain muda terhangat di pasaran Eropah.

Antara pemain-pemain lain yang berjaya dilahirkan menerusi sistem pembangunan pemain muda di Dortmund adalah Ousmane Dembele, Christian Pulisic, Ilkay Gundogan, Mario Gotze, Nuri Sahin dan Marco Reus.

Musim ini, pasukan itu telah membariskan beberapa pemain muda seperti Giovanni Reyna, Tobias Raschl dan mendapatkan Erling Haaland pada Januari lalu dari RB Salzburg dan semuanya diberikan minit permainan yang cukup baik.

Mungkin bagi segelintir penyokong United, mereka tidak terlalu meratapi kegagalan mendapatkan Bellingham memandangkan pasukan itu sudah pun memiliki penyerang muda sensasi, Mason Greenwood yang baru berusia 18 tahun dan telah menjaringkan 16 gol musim ini.

Mungkin sudah menjadi ketentuan takdir Bellingham tidak dipertemukan jodoh dengan United pada peringkat usianya yang masih ‘mentah’ ketika ini. Atau mungkin beliau telah membuat ‘perjanjian lisan’ akan kembali ke England dan ‘mendarat’ di Old Trafford apabila tiba masanya satu hari nanti?

Kredit Foto: Borussia Dortmund

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Jude Bellingham dan Manchester United:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN