Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menegaskan bahawa beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk kembali pulih selepas beliau disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika perlawanan ‘Derbi Merseyside’ yang berlangsung di Goodison Park, kelmarin.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, van Dijk bakal menjalani pembedahan dan berkemungkinan akan diketepikan dalam satu tempoh agak lama sebelum kembali beraksi.
Sehubungan dengan itu, pemain kelahiran Breda, Belanda tersebut bertekad untuk bekerja keras dalam proses pemulihan untuk beliau kembali turun ke padang bagi membantu Liverpool pada musim ini.
”Petang ini saya akan bertemu dengan perunding terkemuka untuk memulakan perancangan secara terperinci berhubung proses pemulihan saya yang lebih baik berikutan kejadian semalam [kelmarin],” ujar van Dijk menurut ciapan dilakukan menerusi laman Twitter peribadi miliknya.
”Sekarang ini, saya fokus sepenuhnya terhadap proses pemulihan dan akan melakukan semua yang saya mampu untuk kembali beraksi dengan secepat mungkin.”
”Walaupun terdapat perbezaan yang jelas [terpaksa berehat panjang]. Saya yakin bahawa dalam kesukaran itu terdapatnya peluang dan dengan pertolongan Tuhan, saya akan memastikan saya kembali dengan lebih baik, lebih sihat dan kuat daripada sebelum ini.”
”Dalam bola sepak, sama seperti kehidupan seharian, saya percaya setiap perkara yang berlaku ada sebabnya, dan penting untuk mencuba dan terus memiliki wawasan yang sama ketika berada di atas mahu pun di bawah.”
Dalam pada itu, van Dijk turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan semangat buatnya dalam menghadapi saat sukar dalam hidupnya itu.
‘”Dengan sokongan daripada isteri, anak-anak, keluarga dan semua orang di Liverpool. Saya bersedia untuk menghadapi dugaan yang akan datang.”
”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas mesej sokongan, ini sangat memberikan makna yang cukup besar buat saya serta keluarga dan saya akan melakukan apa sahaja yang mungkin untuk memberikan sokongan kepada rakan sepasukan dengan apa cara sekalipun menjelang beberapa minggu ke depan kerana saya akan menjalani proses pemulihan sendiri dari hari ke hari.
”Saya akan kembali,” tambah van Dijk lagi.
Kredit featured image: Laurence Griffiths/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai van Dijk:
Virgil Van Dijk: Anda Tak Boleh Samakan Saya Dengan Lionel Messi