Liverpool kehilangan pula khidmat penyerang, Sadio Mane apabila disahkan positif COVID-19, tiga hari selepas Thiago Alcantara diumumkan positif COVID-19.
Ia mungkin satu khabar yang mengejutkan buat mereka tetapi Mane memang sudah tidak beraksi dalam pertembungan kedua menentang Arsenal dalam saingan Carabao Cup pada Khamis. Aksi terakhirnya adalah bertemu Arsenal di Premier League.
Dalam pertembungan pertama itu, Mane menyumbang satu gol dalam kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Arsenal – menghadiahkan The Gunners kekalahan pertama mereka musim ini, dan merupakan gol ketiga peribadi untuk saingan musim ini.
Liverpool terpaksa melupakan khidmatnya untuk berdepan Aston Villa pada Isnin depan dan pengendali, Jurgen Klopp mungkin akan meletakkan rangkaian baharu di jentera serangan The Reds untuk bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino.
Aston Villa ketika ini sedang melalui prestasi yang sangat mengujakan apabila melalui tiga perlawanan tanpa bolos dan turut menang dalam ketiga-tiga perlawanan serta sedang berada di kedudukan ke-4 liga. Ia satu perlawanan yang menarik.
Ianya menarik untuk melihat bagaimana Klopp akan membentuk gandingan baharu di jentera serangan dan dijangkakan penjaring dua gol di Carabao Cup, Takumi Minamino akan mengambil alih peranan Mane untuk aksi berdepan The Villans.
Satu kenyataan di laman sesawang Liverpool menyatakan, “Sebagaimana Thiago Alcantara, Liverpool akan dan sentiasa mengikuti semua protokol berkaitan COVID-19 dan Mane akan dikuarantin mengikut tempoh yang telah ditetapkan.”
Mungkin sedikit melegakan buat Liverpool ialah pertembungan dengan Aston Villa adalah aksi terakhir sebelum liga berehat sehingga 17 Oktober untuk saingan peringkat antarabangsa. Aksi berikutnya, Liverpool akan turun menentang Everton.
Pastinya aksi berdepan skuad dalam prestasi cemerlang seperti Everton memerlukan skuad Liverpool yang lengkap dan ketika itu, mungkin Mane sudah sedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama sebagaimana Thiago Alcantara juga.
Liverpool ketika ini telah merekodkan mata maksimum dengan menang dalam ketiga-tiga perlawanan pertama liga dan berada di kedudukan ke-2 – hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan pendahulu ketika ini, Leicester City.
Dalam pada itu, Isnin lalu, Premier League telah merekodkan jumlah tertinggi jangkitan COVID-19 dikalangan individu yang terlibat dalam saingan musim ini iaitu 10 orang daripada 1,595 individu yang telah disaring selama seminggu yang lalu.
Selain Thiago dan Mane, sebelum ini, West Ham juga mengesahkan pengurus, David Moyes bersama dua pemain iaitu Issa Diop dan Josh Cullen turut positif COVID-19.
KREDIT FEATURED IMAGE: AP