Sabah FC akan berdepan Selangor FC pada Jumaat dan tentunya prestasi Saddil Ramdani akan terus menjadi fokus utama untuk meneruskan momentum mereka.
Benar, bukan hanya prestasi Saddil Ramdani yang perlu menjadi keutamaan buat mereka saat ini, namun impak yang dihadirkan oleh pemain sayap menyerang itu sangat kuat dalam membantu Sabah dalam beberapa perlawanan setakat ini.
Terutama sekali ketika membenam cabaran UiTM FC 4-0 di halaman sendiri, Saddil Ramdani terlibat dalam tiga gol, satu jaringan dan dua bantuan gol. Ketika bertemu Penang FC juga, beliau telah berjaya menghasilkan satu jaringan memukau.
Kemenangan 4-0 ke atas UiTM sebentar tadi merupakan kemenangan terbesar Sabah sejak kembali beraksi dalam Liga Super, tahun lalu.
Saddil Ramdani mempamerkan aksi terbaik selepas terlibat dalam 3 gol (1 jaringan gol, 2 bantuan gol).#SBHUiTM#LigaSuper2021 pic.twitter.com/rTzQsjnxk5
— Sukanz. (@sukanzcom) April 17, 2021
Dalam sidang media selepas terikat 1-1 menentang Penang FC, Kurniawan Dwi Yulianto ada memberikan komennya terhadap prestasi pemain skuad kebangsaan Indonesia itu dengan berkata yang pemain itu memiliki potensi luar biasa.
“Saya kenal sangat pemain ini [Saddil Ramdani] sejak dia berumur 18 tahun. Dia juga bersama saya di Sukan SEA 2019. Saya tahu Saddil memiliki potensi yang luar biasa.
“Sejak musim lepas saya cuba bawanya ke Sabah, tetapi disebabkan ejennya mahu membawanya Eropah, jadi saya lepaskan,” jelas bekas jurulatih skuad B-23 Indonesia.
Mengikut laporan daripada IndoSport, Saddil Ramdani ketika itu sedang diintai oleh tiga kelab yang beraksi di Jupiler Pro League, Belgium iaitu Sint-Truidense VV, SV Zulte Waregem dan Club Brugge KV, sejurus beliau dilepaskan oleh Sri Pahang FC.
Walaubagaimanapun, beliau akhirnya telah kembali ke Indonesia untuk menyertai Bhayangkara FC dan menolak tawaran daripada Persib Bandung dan PSS Sleman.
Kata-Kata Kurniawan Kepada Pemain Sabah Sehingga Berjaya Ledak Gol https://t.co/rVg7goubuO
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 12, 2021
Untuk rekod, beliau tampil sebanyak 21 kali bersama Pahang dalam aksi sulungnya di Liga Super Malaysia, namun khidmatnya tidak disambung untuk saingan musim 2020. Saddil Ramdani merekodkan dua jaringan dalam 1369 minit permainannya.
“Tahun ini, saya katakan kepadanya, Malaysia adalah batu loncatan kepadanya. Ia boleh melatih mentalnya sebagai seorang pemain import sebelum dia melangkah ke liga yang lebih baik,” jelas Kurniawan lagi kepada pihak media pada malam itu.
Berdepan Selangor, sentuhan magisnya pasti ditagih sekali lagi dan gandingannya bersama Levy Madinda, Amri Yahya dan Sam Johnson nampaknya sudah kian serasi.
Bercakap kepada The Star, pemain berusia 22 tahun itu berkata, “Saya tidak mahu diangkat sebagai hero dalam setiap perlawanan. Apa yang penting dan paling utama bagi saya adalah kejayaan pasukan terlebih dahulu [sebelum kejayaan peribadi].”
The Rhinos ketika ini menduduki kedudukan ke-8 Liga Super 2021 dengan mengumpul sembilan mata, berkongsi mata bersama Perak FC dan dipisahkan hanya dua mata di belakang PJ City FC yang berada di kedudukan ke-7 liga selepas sembilan aksi.
Baca lagi artikel lain mengenai Saddil Ramdani dan Sabah FC:
Hanya Tinggal Satu Isu Yang Memisahkan Saddil Ramdani Untuk Sertai Sabah FC
Tomas Trucha: Sabah Kuat, Anda Boleh Tanya Terengganu Kalau Tak Percaya
Sabah Selesa Benam UiTM FC, Kurniawan Nyatakan Sebab Mereka Kian Lega