Kami sudah menceritakan perjalanan pasukan Leeds United dalam saingan kelayakan hingga berjaya melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2000-01.
Bagi yang masih belum membaca bahagian 1, boleh membacanya di https://semuanyabola.com/saat-indah-leeds-united-dalam-saingan-liga-juara-juara-eropah-2000-01-bahagian-1/
Dalam bahagian kedua kali ini kami akan menceritakan pula perjalanan mereka hingga ke peringkat separuh akhir.
Peringkat kumpulan kedua :
Real Madrid (Elland Road)
Leeds kemudiannya diletakkan bersama-sama Real Madrid, Lazio dan Anderlecht untuk merebut 2 slot ke suku akhir.
Seperti peringkat kumpulan sebelum ini, Leeds terpaksa berhadapan dengan satu lagi gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid pada perlawanan pertama.
2 jaringan dalam masa 2 minit (minit 66 dan 68) oleh Fernando Hierro dan Raul Gonzales sudah cukup memberikan pengajaran berguna buat Leeds ketika itu dengan keputusan 2-0 memihak buat Real Madrid.
Lazio (Stadio Olimpico)
Bertandang ke Rome, Leeds berjaya mencatatkan kemenangan apabila Alan Smith berjaya menyudahkan gol hasil gerakan cantik beliau bersama Mark Viduka yang memperagakan skill yang cukup memukau.
Jaringan minit ke-80 oleh Smith itu telah mengecewakan Lazio yang dibarisi nama besar seperti Diego Simeone, Hernan Crespo, Juan Veron, Alessandro Nesta, Marcelo Salas dan Pavel Nedved.
Anderlecht (Elland Road)
Kemenangan terus dirakamkan Lucas Redebe dan rakan sepasukan apabila menang 2-1 hasil jaringan kemenangan lewat permainan oleh Bowyer.
Anderlecht terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan jaringan ke-65 setelah gerakan cantik dicipta disempurnakan dengan tenang oleh Alin Stoica.
Sepakan percuma menarik dari Ian Harte 10 minit kemudian dan jaringan lewat permainan Lee Bowyer memberikan 3 mata berharga buat Leeds.
Anderlecht (Constant Vanden Stock)
Kunjungan ke Brussels juga dihadapi dengan begitu yakin oleh Leeds United apabila mengecapi kemenangan 4-1 keatas juara Belgium itu.
Alan Smith berjaya menjaringkan 2 gol manakala Mark Viduka dan Ian Harte masing-masing mencetak satu gol buat Leeds manakala Jan Koller memberikan gol saguhati buat tuan rumah.
Dengan kemenangan ini meletakkan Leeds dilandasan terbaik untuk mengiringi Real Madrid ke suku akhir.
Real Madrid (Santiago Bernabeu)
Aksi sengit dipamerkan kedua-dua pasukan yang berada di tangga teratas kumpulan D ini.
Jaringan pendahuluan seawal minit ke-6 oleh Alan Smith kemudiannya dipadamkan oleh Raul Gonzales seminit kemudian.
Hantaran silang Luis Figo yang mengelirukan Nigel Martyn terus menerjah gawang Leeds pada minit ke-41.
Kemudian, giliran Mark Viduka pula menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk bola hasil sepakan sudut dari Ian Harte.
Jaringan kemenangan Madrid terhasil pada minit ke-60 setelah Raul Gonzales yang mendapat umpanan dari Luis Figo berjaya membuat penyudah yang baik menerusi tandukan untuk keputusan 3-2 hingga tamat permainan.
Lazio (Elland Road)
Sekali lagi lagi Leeds hanya memerlukan satu mata untuk meneruskan perjuangan dalam kejohanan ini.
Keputusan seri juga dicatatkan pada perlawanan ini apabila penyokong kedua-dua pasukan disajikan dengan 6 gol untuk perlawanan tamat dengan terikat 3-3.
Lee Boywer, Jason Wilcox dan Mark Viduka menghasilkan jaringan sementara itu Fabrizio Ravanelli dan Sinisa Mihajlovic (2 gol) menyumbang buat Lazio.
Pada perlawanan ini beberapa pemain utama Leeds tidak dapat beraksi seperti Alan Smith, Eirik Bakke, Rio Ferdinand, Olivier Dacourt dan David Batty.
Suku akhir
Deportivo La Coruna
Bertemu juara Sepanyol itu, Leeds United dapat merantai pergerakan penyerang berbisa Deportivo, Roy Makaay.
Perlawanan pertama yang berlangsung di Elland Road digunakan sepenuhnya anak buah David O’Leary dengan memperolehi jaringan pertama menerusi sepakan percuma menarik oleh Ian Harte.
Alan Smith yang kembali beraksi menjarakkan kedudukan dengan tandukan yang menewaskan Jose Molina di gawang lawan.
Pemain termahal Leeds United ketika itu, Rio Ferdinand menambah jaringan ke-3 pada minit ke-66 menerusi tandukan hasil sepakan sudut dari Ian Harte.
Kelebihan 3-0 Leeds yang dibawa ke Estadio Riazor sudah pasti tugas yang sukar buat mereka apabila Deportivo bernafsu untuk memadam kelebihan 3 gol tersebut.
Gol awal yang dicari Deportivo berhasil seawal minit ke-9 menerusi sepakan penalti Djalminha apabila Harry Kewell mengasari Victor dalam kotak penalti. Djalminha dengan tenang memperdayakan Nigel Martyn.
Deportivo terus mengasak namun tiada tambahan jaringan terhasil pada babak pertama.
Aksi babak kedua terus didominasi Deportivo walaupun sesekali Leeds melancarkan serangan.
Gol kedua tuan rumah menjelma pada minit ke-73 selepas pemain gantian, Diego Tristan menyudahkan dengan tenang hantaran lintang disebelah kiri.
2 jaringan tersebut kekal hingga tamat permainan dan tidak mampu untuk menghalang kemaraan Leeds ke separuh akhir.
Separuh akhir
Valencia
Aksi separuh akhir pertama di Elland Road memberikan sedikit harapan buat tuan rumah setelah Valencia beraksi tanpa tonggak tengah mereka, Ruben Baraja dan Amedeo Carboni pada perlawanan ini.
Leeds hampir membuka tirai jaringan pada awal permainan melalui sepakan percuma yang dilakukan Ian Harte namun sepakan tersebut dinafikan oleh penjaga gol Valencia, Santiago Canizares.
Valencia turut mempunyai peluang menarik melalui percubaan akrobatik dari John Carew dan Gaizka Mendieta. Bagaimanapun, Paul Robinson lebih tangkas menghalang percubaan mereka.
Kedua-dua pasukan saling serang menyerang tetapi digagalkan dengan ketumpulan penyudah untuk saingan separuh akhir pertama berakhir dengan terikat tanpa jaringan.
Aksi kedua di Mestalla menoktahkan impian menggunung Leeds United dalam saingan Eropah.
Juan Sanchez meletakkan Valencia di depan pada minit ke-15 walaupun jaringan tersebut mendapat tentangan dari pemain Leeds United.
Sanchez kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadi sebelum Gaizka Mendieta meledakkan jaringan ke-3 bagi menamatkan sisa perjuangan Leeds dalam saingan Eropah.
Rumusan
Walaupun tewas pada perlawanan tersebut (menentang Valencia), seluruh peminat dan pasukan Leeds United pasti berbangga dengan kejayaan yang diraih hingga berjaya ke tahap yang dicapai. Merupakan antara detik yang gemilang buat pasukan tersebut.
Begitu indah kisah di saingan Liga Juara-Juara Eropah ini buat peminat Leeds United, namun hari ini kelibat pasukan yang pernah menampilkan pemain-pemain hebat di England khususnya sudah hilang bisanya.
Masalah kewangan yang dihadapi sehingga menyebabkan mereka jatuh bankrap membuatkan hanya kenangan yang mengiringi sejarah silam yang pernah dicipta Leeds United.
Moga Leeds United dapat kembali. Mungkin satu masa nanti !