Saat Indah Leeds United Dalam Saingan Liga Juara-Juara Eropah 2000-01 (Bahagian 1)

Leeds United

Cabaran Liga Juara-Juara Eropah musim 2017-18 sudah membuka tirainya awal pagi tadi dengan beberapa pasukan pilihan seperti Paris Saint-Germain, Bayern Munich dan Barcelona berjaya memenangi perlawanan pertama masing-masing. Saingan Eropah ini juga mengingatkan kita tentang kemaraan Leeds United yang berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir musim 2000-01.

Leeds yang ketika itu dibimbing David O’Leary mempunyai himpunan pemain muda yang berkualiti seperti Harry Kewell, Lee Bowyer, Ian Harte, Mark Viduka, Alan Smith, Rio Ferdinand dan ramai lagi.

Pemain berpengalaman yang juga merupakan ketua pasukan, Lucas Redebe, David Batty dan Nigel Martyn berjaya membentuk gandingan dengan baik bersama pemain-pemain muda tersebut.

Ayuh kita ikuti perjalanan Leeds United dari saingan kelayakan hingga berjaya melepasi peringkat kumpulan :

Pusingan kelayakan ketiga bertemu 1860 München

Perlawanan pertama timbal balik itu berlangsung di Elland Road, gelanggang keramat buat Leeds United.

Leeds berjaya membawa bekalan kelebihan 1 jaringan untuk kunjungan ke Jerman pada perlawanan kedua setelah menang 2-1 pada perlawanan yang dicemari dengan layangan 3 kad merah, 2 buat pemain Leeds United (Olivier Dacourt dan Eirik Bakke) dan satu buat pemain 1860 München.

Alan Smith menyumbang gol pertama setelah hantaran jauh dari penjaga gol, Nigel Martyn singgah di kepala Mark Viduka yang menanduk bagi menghantar bola ke hadapan.

Pertahanan lawan, Martin Stranzl yang ingin melakukan tandukan kepada penjaga golnya, melakukan tandukan lemah dan lebih pantas disambar Smith untuk jaringan pertama perlawanan.

Smith turut terlibat dengan jaringan kedua Leeds apabila beliau dijatuhkan dalam kotak penalti untuk sepakan penalti yang disempurnakan Ian Harte pada minit ke-71.

Paul Agostino merapatkan kedudukan pada minit akhir perlawanan sebagai bekalan jaringan ditempat lawan.

Aksi di Munich pula menyaksikan Leeds berjaya menumpaskan tuan rumah dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Alan Smith untuk mengesahkan mereka bagi beraksi di saingan utama Liga Juara-Juara Eropah musim tersebut.

Peringkat kumpulan :

Barcelona (Nou Camp)

Mereka berdepan tugas getir dalam peringkat kumpulan apabila diletakkan satu kumpulan bersama-sama Barcelona, AC Milan dan Besiktas.

Perlawanan pertama skuad bimbingan David O’Leary itu juga telah menemukan mereka dengan gergasi Sepanyol, Barcelona pada perlawanan yang diadakan di Nou Camp.

Tewas 4 gol tanpa balas. Itulah keputusan yang harus diterima Redebe dan rakan sepasukan dihadapan peminat setia Barcelona.

Kualiti yang ditunjukkan tuan rumah pada perlawanan ini jelas memukau Leeds United apabila jaringan pertama pada minit ke-10 terhasil menerusi Rivaldo.

Frank De Boer menambah jaringan 10 minit kemudian apabila beliau meledakkan sepakan percuma yang melencong lalu terkena tiang gol seterusnya menerjah gawang bagi mengecewakan Nigel Martyn di pintu gol.

Patrick Kluivert melengkapkan kemenangan 4-0 dengan 2 jaringan yang dihasilkan pada minit ke-75 dan 84.

Leeds United
Foto: Gettyimages

AC Milan (Elland Road)

Berdepan satu lagi tugas sukar apabila melayani kunjungan AC Milan yang ketika itu membariskan pemain-pemain terbaik seperti Paolo Maldini, Dida, Andriy Shevchenko dan Oliver Bierhoff.

Leeds United berjaya mengelak daripada dibolosi gandingan peledak berbisa Milan yang diketuai Shevchencko dan Bierhoff itu.

Saat yang dinantikan penyokong Leeds akhirnya menjelma akibat dari kesilapan Dida yang gagal melakukan tangkapan kemas hasil sepakan jarak jauh yang dilakukan oleh Lee Bowyer pada minit ke-89.

Jaringan tunggal Bowyer itu sudah cukup untuk memberikan kemenangan bermakna buat Leeds.

Besiktas (Elland Road)

Malam indah buat penyokong dan pemain Leeds United apabila kemenangan besar 6-0 diraih pada perlawanan ketiga ini.

Anak buah O’Leary tidak menunggu lama apabila Lee Bowyer membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 setelah menyudahkan hantaran silang dari Harte untuk menceriakan penyokong mereka.

Mark Viduka terus menggamatkan Elland Road 5 minit kemudian apabila menanduk masuk hantaran yang dilakukan Gary Kelly untuk jaringan kedua.

Tidak cukup dengan itu, Dominic Matteo turut meletakkan nama selaku penjaring setelah mendapat umpanan dari sepakan sudut dan melakukan rembatan jarak dekat bagi menewaskan Shorunmo.

Eirik Bakke yang meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti menambah jaringan ke-4 pada minit ke-65.

Masih belum cukup dengan 4 jaringan, Leeds menambah 2 lagi jaringan pada minit-minit akhir permainan menerusi Darren Huckerby dan Lee Bowyer.

Besiktas (BJK İnönü Stadyumu)

Selepas dibelasah teruk pada perlawanan di Elland Road, Besiktas dapat mengelakkan Leeds dari sekali lagi meraih kemenangan besar dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Pada perlawanan ini menyaksikan pemain Leeds, Micheal Bridges terpaksa diusung keluar pada minit ke-28 dan digantikan oleh Darren Huckerby.

Besiktas mempamerkan peningkatan pada perlawanan ini dengan beberapa percubaan yang menarik namun masih gagal untuk menjaringkan gol.

Barcelona (Elland Road)

Lee Bowyer telah menghasilkan jaringan cantik menerusi sepakan percuma yang mengelirukan penjaga gol Barcelona, Richard Dutruel pada minit ke-5 perlawanan. Sepakan percuma itu diberikan setelah Abelardo mengasari Mark Viduka.

Perlawanan ini menyaksikan Paul Robinson diberikan tanggungjawab untuk beraksi menggantikan Nigel Martyn. Robinson yang ketika itu merupakan penjaga gol skuad B-21 England bertindak cemerlang menggagalkan percubaan demi percubaan yang dilakukan Barcelona.

Pemain terbaik dunia ketika itu, Rivaldo merupakan individu yang memaksa Robinson bekerja keras bagi menyelamatkan gawangnya.

Hanya tinggal 10 saat untuk Leeds mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya, Rivaldo hadir bagi mengecewakan penyokong Leeds apabila menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan.

Rivaldo yang melakukan percubaan susulan daripada tandukan Gerrard yang terkena tiang gol, berjaya meragut impian Leeds untuk menewaskan Barcelona sekaligus memadamkan luka tewas 4-0 di Nou Camp.

Leeds United
Foto: Gettyimages

AC Milan (San Siro)

Pada perlawanan tersebut, Andriy Shevchenko terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan penalti yang diambilnya hanya singgah di tiang gol.

Leeds yang acapkali mengasak ke kubu Milan akhirnya menghasilkan jaringan apabila tandukan Dominic Matteo berjaya membolosi gawang tuan rumah untuk gol pertama perlawanan pada hujung babak pertama.

Gol Milan pula hadir pada minit ke-68 selepas larian solo dilakukan Serginho lalu menghasilkan jaringan untuk perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

Keputusan yang sudah cukup buat Leeds untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya kerana skuad bimbingan O’Leary itu hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata sahaja untuk layak dan menyebabkan Barcelona tersingkir di peringkat kumpulan.

Sumberhttps://www.uefa.com/

Baca jugahttps://semuanyabola.com/saat-indah-leeds-united-dalam-saingan-liga-juara-juara-eropah-2000-bahagian-2/

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN