Pemain tengah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), S. Kumaahran mengakui pemain tempatan perlu berusaha lebih keras andai mahu merebut tempat ke skuad utama JDT selepas Malaysian Football League (MFL) menetapkan tiada had transaksi pemain dan asing di luar tempoh perpindahan antara Parent Club (pasukan utama) dan reserve team.
Bekas pemain Pulau Pinang itu pernah dipanggil untuk membantu skuad kendalian Benjamin Mora pada musim ini dalam satu perlawanan di saingan Liga Super tetapi hanya diletakkan sebagai pemain simpanan.
Justeru, Kumaahran menganggap bukan mudah untuk seseorang pemain itu bersaing merebut tempat beraksi bersama JDT dan ini jelas membuktikan dia juga perlu berusaha lebih keras kerana enggan sekadar dipanggil untuk memanaskan bangku simpanan sahaja.
Walaubagaimanapun, dia percaya barisan pemain khususnya pemain muda sepertinya akan terus bekerja keras untuk membuktikan keupayaan sekiranya ingin mendapat peluang bersaing di tahap lebih tinggi.
“Memang bagus untuk pemain-pemain muda terutamanya yang ingin meningkat dan kita juga boleh tahu bagaimana rasanya beraksi di peringkat lebih tinggi bersama pasukan JDT.
“Cuma sekarang ini, persaingan akan lebih sengit kerana tiada lagi had perpindahan pemain termasuklah pemain import dan semua orang pastinya ingin dipanggil beraksi bersama JDT.
“Sebab itulah, saya sendiri perlu menggandakan usaha kerana saya juga pernah dipanggil untuk bantu JDT dan bukan mudah untuk beraksi bersama pemain-pemain hebat yang lain dalam pasukan itu.
“Tetapi apabila kita mendapat peluang itu, pengalaman memang berbeza dan itulah sebenarnya yang diperlukan oleh pemain-pemain muda untuk bersaing di tahap lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Kumaahran tidak menafikan bahawa dirinya yang sudah pulih daripada kecederaan ACL sejak 2017 adalah menerusi bantuan proses pemulihan yang dilakukan ketika bersama JDT II bermula musim lalu.
Meskipun agak bergelut untuk mendapatkan kembali momentum perlawanan di atas padang, tetapi dia tidak pernah berputus asa bagi mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih, Ervin Boban untuk kembali beraksi.
“Pada awalnya selepas selesai proses pemulihan, saya memasuki latihan pertama bersama JDT II musim lalu dan tidak dinafikan memang sukar untuk kembali mendapat rentak permainan.
“Tetapi selepas diberi beberapa peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama, saya semakin dapat menyesuaikan diri di atas padang dan corak permainan saya juga bertambah baik untuk bantu pasukan musim ini”, katanya.
JDT II berjaya menewaskan UKM FC 1-0 dalam aksi final pertama Challenge Cup 2019 pada minggu lalu dan akan membuat perhitungan kedua, pada Sabtu ini.