Quantcast

BERITA

CEO Dortmund Akui Pernah Cuba Pancing Klopp Kembali

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke mendedahkan beliau pernah cuba untuk membawa Jurgen Klopp untuk kembali menyertai kelab tersebut pada musim panas 2018 yang lalu.

Klopp menjuarai dua gelaran Bundesliga sepanjang tempoh tujuh tahun bersama Dortmund dan menjadikan kelab tersebut sebagai salah sebuah pesaing utama di pentas eropah.

Pengendali dari Jerman itu meninggalkan Dortmund pada 2015 sebelum diumumkan pengurus baharu Liverpool beberapa bulan kemudian.

The Reds kemudiannya mengecapi kejayaan di Liga Juara-Juara Eropah bersama Klopp.

Walaupun pernah berniat membawa Klopp untuk kembali ke Bundesliga, Watzke tidak terkejut bekas pengendali Dortmund itu enggan berpaling tadah terhadap kontrak beliau bersama Liverpool.

“Saya sudah tahu Jurgen [Klopp] akan menolak, dan akan menghormati kontrak bersama Liverpool,” dedah Watzke dalam buku beliau berjudul ‘REAL LOVE. A Life With BVB’.

“Jurgen sentiasa menghormati kontrak beliau. Tetapi jika anda mahu mencari jalan untuk permulaan baharu di BVB, sekurang-kurangnya saya sudah bertanya kepada Jurgen untuk beliau pertimbangkan.

“Saya sudah menjangka [Klopp tidak akan terima tawaran],tetapi saya tidak akan memaafkan diri jika tidak bertanya kepada beliau pada ketika itu.”

Selain daripada berjaya membawa Liverpool menjuarai kejuaraan eropah buat kali ke-6 dalam sejarah kelab tersebut, kelab Merseyside itu kini berada di landasan terbaik menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 30 tahun yang lalu.

Gelaran Liga Perdana Inggeris adalah satu-satunya kejuaraan yang sentiasa diidamkan oleh Liverpool, dan menjadi satu-satu trofi yang membuatkan kelab Merseyside ini mencemburui seteru utama di peringkat domestik, Manchester United.

Liverpool kini sudah mempunyai kelebihan lapan mata ke atas Manchester City di kedudukan kedua EPL, dan Watzke percaya Klopp mampu melakukannya kerana faktor kejujuran pengurus itu.

“Perkara terpenting dalam hubungan kami ialah kami boleh bersandar kepada kejujuran masing-masing tanpa ada rasa curiga,” tambah Watzke.

“Jurgen tidak pernah berbohong kepada saya. Beliau sentiasa jujur, termasuk di dalam menjalankan tugas. Dan saya juga tidak pernah berbohong kepada beliau.

“Walaupun pada waktu yag paling sukar, pada musim terakhir kami berpisah, pada ketika segalanya tidak menentu [saingan Dortmund di Bundesliga pada 2015], kami tetap sentiasa begitu.”