Quantcast

BERITA

Luqman Hakim Kini Diiktiraf Sebagai Antara 60 Pemain Remaja Terbaik Dunia

Lupakan Jadon Sancho, Takefusa Kubo atau bintang Manchester City, Phil Foden buat seketika. Kini Malaysia turut boleh berbangga apabila penyerang sensasi skuad Bawah-18 negara, Luqman Hakim turut diiktiraf sebagai salah seorang daripada 60 pemain remaja terbaik dunia.

Di dalam senarai yang dikeluarkan oleh The Guardian – media antarabangsa yang berpengkalan di Britain – pemain muda kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu turut dinyatakan sebagai salah seorang pemain yang wajar diberikan perhatian pada masa hadapan.

Malah dari kalangan 60 pemain yang disenaraikan oleh The Guardian, Asia Tenggara mempunyai dua wakil apabila bintang muda Thailand, Suphanat Mueanta turut tersenarai.

Luqman dan Suphanat adalah antara tiga pemain dari benua Asia yang tersenarai, apabila pemain remaja Cerezo Osaka, Jun Nishikawa turut berada di dalam senarai tersebut.

Luqman Hakim

Antara pemain yang sememangnya sudah dikenali yang sebaris dengan nama Luqman Hakim, semestinya adalah penyerang berusia 16 tahun Barcelona, Ansu Fati – yang tampil sebagai pemain dan penjaring termuda kelab Catalan itu di La Liga sejak 1941.

Melalui artikel tersebut, Luqman diibaratkan sebagai pemain yang sekian lama dinanti-nantikan oleh negara sejak Allahyarham Mohtar Dahari yang pernah menghukum Arsenal dalam satu perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur pada 1975.

Foto: asiana.my

Luqman kini dilaporkan masih lagi berada di Kuala Lumpur, dan dijadualkan ke Cardiff City pada Januari hadapan, sebelum menyertai K.V Kortrijk di Belgium.

Senarai yang dikeluarkan oleh The Guardian ini juga adalah satu lagi pengiktirafan kepada kejayaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), dan Luqman merupakan generasi pertama produk keluaran Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).