Rusia merakamkan kemenangan kedua dalam saingan kumpulan A Piala Dunia 2018 selepas menundukkan Mesir 3-1 di Stadium Krestovsky, Saint Petersburg sebentar tadi.
Kemenangan tersebut semakin hampir bagi negara tuan rumah itu untuk mencipta rekod layak ke pusingan kalah mati buat pertama kali.
Separuh masa pertama
Turun dengan misi memburu mata penuh untuk kembali mencerahkan peluang mara ke peringkat kalah mati, Mesir mengawal permainan dengan baik pada 10 minit awal permainan.
Penguasaan tersebut bagaimanapun tidak memberikan sebarang makna apabila Rusia yang dilihat lebih berbahaya apabila sesekali melancarkan serangan ke kubu lawan.
Sergei Ignashevich terlebih dahulu menguji ketangkasan Mohamed El-Shenawy menerusi tandukan hasil hantaran lintang dilakukan Aleksandr Samedov.
Namun, penjaga gol Mesir itu lebih bersedia bagi menafikan percubaan pada minit ke-6 tersebut.
Tandukan dari pertahanan veteran Rusia itu merupakan satu-satunya percubaan tepat yang dapat dilihat pada aksi di babak pertama.
Selepas itu, serangan yang dilancarkan kedua-dua pasukan seringkali berakhir dengan percubaan yang tersasar.
Rusia mencatatkan lima percubaan tersasar manakala tiga buat Mesir.
Separuh masa kedua
Tuan rumah menceriakan para penyokong setia dua minit selepas aksi babak kedua bersambung apabila menjaringkan gol pembukaan.
Perit untuk diterima Mesir apabila jaringan sulung Rusia itu disumbangkan oleh ketua pasukan mereka, Ahmed Fathi yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri.
Tersentak dengan jaringan itu, Mesir mengatur langkah dan memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan, tetapi percubaan yang dilakukan Mohamed Salah berjaya dihalang Mario Fernandes.
Rusia mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua menerusi Denis Cheryshev pada minit ke-59.
Jaringan tersebut terhasil apabila Cheryshev menerima hantaran ‘cut back’ dari Fernandes dari sebelah kiri kawasan Mesir yang sekaligus menewaskan El-Shenawy.
Rusia terus meningkatkan serangan dan hasilnya jaringan ketiga menjelma berselang tiga minit kemudian.
Kali ini giliran Artem Dzyuba yang menerima hantaran jauh hasil sepakan percuma oleh Ilya Kutepov mendada dengan baik lalu melepaskan sepakan ‘placing’ yang sekali lagi mengecewakan El-Shenawy.
Ketinggalan tiga gol tidak mematahkan semangat skuad bimbingan Hector Cuper untuk memburu jaringan.
Usaha Mesir membuahkan hasil selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Roman Zobmin mengasari Mohamed Salah dalam kotak penalti.
Salah yang mengambil sepakan tersebut menyempurnakan dengan tenang untuk merapatkan kedudukan.
Pengadil dari Paraguay, Enrique Caceres Villafane meniupkan wisel penamat bagi kemenangan 3-1 memihak buat tuan rumah.