Wayne Rooney mengakui bahawa penyerang berbisa Tottenham Hotspur, Harry Kane mampu untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak skuad kebangsaan England yang dipegangnya pada ketika ini.
Harry Kane yang juga merupakan kapten England hanya memerlukan 22 jaringan sahaja lagi untuk meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak di mana Rooney mendahului dengan 53 jaringan di pentas antarabangsa.
Dengan usianya hanya akan menjengah 27 tahun pada bulan Julai nanti, segalanya tampak tidak bermasalah buat Kane untuk memintas jumlah jaringan yang dihasilkan oleh Wayne Rooney itu.
Sehubungan dengan itu, Rooney turut menganggap Kane tidak akan mengambil masa yang begitu lama untuk melakar rekod baharu tersebut.
”Saya mahu bercakap dengan jujur dan ini mungkin akan mengejutkan anda, tetapi saya sebenarnya bukanlah penjaring gol semulajadi.”
”Saya memegang rekod jaringan buat Manchester United dan England dan saya amat berbangga dengan perkara tersebut, namun ada pemain ‘nombor sembilan’ yang lebih baik daripada saya.” ujar Rooney menurut laporan Goal.
”Bagaimana saya menjadi pemecah rekod sekiranya saya bukan seorang penjaring gol semulajadi? Ia berkaitan masa. Saya bermain untuk United selama 13 tahun, England selamat 15 tahun.”
”Saya memerlukan masa untuk memecahkan rekod tersebut dan jika mengimbau semula ke belakang, saya seharusnya menjaringkan lebih banyak gol.”
”Saya tidak merasakan Harry Kane akan mengambil masa yang lama untuk memecahkan rekod [jaringan] England saya dan itu akan menjadi detik yang membanggakan bagi saya.”
”Saya tidak pernah menjadi pemain yang mementingkan diri dan sangat bagus bagi England untuk Harry mencapainya. Bobby Charlton menunggu 50 tahun untuk [saya memecahkan rekodnya] – Saya berharap ia tidak begitu lama buat saya.”
”Rekod saya di United mungkin akan bertahan lebih lama kerana ramai pemain yang tidak bertahan di kelab tersebut dengan begitu lama,” ujar Rooney lagi.
Beraksi dalam 45 penampilan bersama skuad kebangsaan England, Harry Kane sudah berjaya menjaringkan 32 gol di pentas antarabangsa.
Kredit foto: Catherine Ivill/Getty Image