Ronaldo Nazario Luis de Lima merupakan antara penyerang hebat yang pernah mewarnai kancah bola sepak dunia bersandarkan kepada kualiti penyudah berbisa dimilikinya.
Sebagai manusia biasa dan pasti tidak akan dapat lari dari kekhilafan, pemenang Piala Dunia 1994 dan 2002 itu turut memiliki sisi gelap dalam hidupnya apabila beliau turut dikenali sebagai seorang pemain yang gemar berparti.
Sehubungan dengan itu, beliau mendedahkan bahawa Presiden Real Madrid, Florentino Perez pernah mengupah beberapa orang pengawal keselamatan untuk menghentikan aktiviti yang menjadi kewajipan anak kelahiran Rio de Janeiro itu.
Bagaimanapun usaha Perez tersebut nyata tidak membuahkan hasil dan ia berakhir dengan sesuatu yang lebih menggelikan hati kerana pengawal keselamatan tersebut pula menyertai parti dianjurkan Ronaldo itu.
”Florentino [Perez] akan meletakkan pengawal keselamatannya sendiri di hadapan pintu. Saya akhirnya berjaya ‘menggelecek’ mereka dan pada akhirnya ada beberapa orang daripada mereka menyertai pesta itu.”
”Kadangkala saya mungkin terlalu banyak berparti, tetapi saya sebenarnya tidak seperti itu,” ujar Ronaldo menurut laporan Marca.
”Saya sentiasa bertanggungjawab dan selalu berusaha untuk tidak merosakkan tubuh badan saya.”
Dalam perkembangan sama, Ronaldo mengakui bahawa beliau pada ketika itu hanya berparti sekiranya Real Madrid memperoleh kemenangan. Tetapi bila difikirkan dengan pasukan yang dibarisi himpunan bintang, kemenangan merupakan kemestian buat Los Blancos.
”Ya, selepas perlawanan saya suka untuk meraikannya dan sejak kami sentiasa menang, itu menjadi masalah.”
”Ia merupakan masa yang luar biasa. Real Madrid dan Madrid adalah gabungan terbaik antara bandar dan pasukan yang dapat dicari dalam hidup,” tambah Ronaldo lagi.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Fabio Capello pernah mendedahkan bahawa Ronaldo merupakan pemain yang paling banyak melakukan masalah ketika beliau membimbing Real Madrid.
”Bakat yang cukup hebat pernah mendapat bimbingan saya ialah Ronaldo. Tetapi dalam masa sama, dia juga adalah pemain yang paling banyak memberikan masalah buat saya di bilik persalinan.”
”Dia suka mengadakan pesta dan bermacam-macam perkara lagi.”
”Pernah sekali pada satu ketika, [Ruud] Van Nistelrooy datang berjumpa saya dan berkata,’Coach’, bilik persalinan seperti berbau alkohol,” ujar Capello menurut laporan dikeluarkan Goal.
Kredit featured image: Richard Heathcote/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai perpindahan pemain musim 2020/21: