RASMI: Kai Havertz Tamatkan Penantian, Kini Milik Chelsea

Penantian panjang penyokong Chelsea untuk melihat Kai Havertz menyarung jersi The Blues akhirnya berjaya direalisasikan setelah kelab Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan kehadiran pemain muda meningkat naik tersebut, sebentar tadi.

Havertz yang cemerlang bersama Bayer Leverkusen pada musim lalu telah memeterai kontrak selama lima tahun dengan perpindahannya dilaporkan bernilai €80 juta dan berpotensi untuk mencecah jumlah €110 juta.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan Havertz sebagai pemain kedua dari skuad kebangsaan Jerman yang direkrut Chelsea bagi menghadapi musim 2020/21 selepas sebelum ini membawa masuk Timo Werner dari RB Leipzig.

Ia turut menjadikan Chelsea sebagai pasukan paling sibuk di jendela perpindahan kali ini dengan taburan wang diberikan Roman Abramovich buat Frank Lampard bagi memantapkan pasukannya.

Selain Werner, Lampard telah berjaya mendapatkan Hakim Ziyech, Xavier Mbuyamba, Ben Chilwell, Thiago Silva dan Malang Sarr.

Havertz jelas gembira dengan keputusan diambilnya dan menganggap ia sebagai sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.

“Saya sangat gembira dan berbangga dapat ke sini. Bagi saya ia bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan dapat bermain dengan kelab besar seperti Chelsea dan saya tidak sabar untuk bertemu para pemain dan barisan kejurulatihan.”

“Ya, saya sangat gembira untuk berada di sini,” ujar Havertz kepada laman sesawang rasmi Chelsea.

Leave a Reply