Bagaimana Ronaldinho Menjadi Buruan Selepas Barcelona Gagal Dapatkan David Beckham

Sebelum menjadi bintang di Barcelona, Ronaldinho mula mencipta namanya di pentas Eropah ketika bersama Paris Saint Germain (PSG).

Pemenang anugerah Ballon d’Or edisi 2005 ini menyertai PSG pada tahun 2001 dari kelab Brazil, Grêmio ketika usianya 21 tahun. Beliau menandangani kontrak selama 5 tahun dengan yuran perpindahan sebanyak €4.34 juta.

Bersama PSG, pada awalnya Ronaldinho menyarung jersi bernombor 21 sebelum diberikan nombor 10.

Beliau mula menjadi perhatian peminat bola sepak di Eropah selepas namanya kerap kali disenaraikan dalam kesebelasan utama PSG bersama seorang lagi bintang Brazil pada ketika itu Aloisio, penyerang sayap Nigeria Jay-Jay Okocha dan penyerang Perancis Nicholas Anelka.

Debut pertama Ronaldinho bersama PSG

Ronaldinho membuat debut pertamanya bersama PSG pada 4 Ogos 2001 sebagai pemain gantian. Sebelum masuk menggantikan Aloisio, Ronaldinho menundukkan kepalanya ke permukaan padang sambil berdoa panjang. Ronaldinho jelas nampak gementar.

Bermain di sayap kiri, permulaan aksi Ronaldinho agak kurang baik. Baru 3 saat beliau memegang bola, pemain Auxerre sudah berjaya merampas semula.

4 minit kemudian, PSG mendapat sepakan percuma dari jarak 35 meter. Ronaldinho diberi tanggungjawab untuk mengambilnya. Tetapi sepakannya menghampakan – ia tak melepasi benteng pertahanan Auxerre pun.

Secara keseluruhannya, debut Ronaldinho tidaklah sebagus mana. Melainkan skil gelecekannya, Ronaldinho mudah ditewaskan pertahanan Auxerre dari segi fizikal. Permainannya juga nampak gopoh.

Ternyata masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Ronaldinho jika mahu berjaya di PSG – terutamanya dalam aspek fizikal dan ketenangan.

Tamat perlawanan tersebut, PSG sekadar seri 1-1 dengan Auxerre.

Bermulanya sinar nama Ronaldinho di Ligue 1

Ronaldinho menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu pada 13 Oktober 2001 ketika menentang Lyon.

Ketinggalan 1-2, PSG mendapat sepakan penalti ketika perlawanan berbaki 12 minit. Ronaldinho ditugaskan mengambil sepakan penalti tersebut. Lawannya bukan calang-calang – Gregory Coupet.

Dengan tenang, beliau menyudahkan penalti tersebut untuk mengikat kedudukan 2-2. Ronaldinho meraikan gol tersebut dengan berlari terus ke dakapan Aloisio (kiri, gambar bawah).

Kredit: Photo by Eddy LEMAISTRE/Corbis via Getty Images

Selepas kembali menjalani cuti rehat musim sejuk, Ronaldinho terus mula mencipta namanya di pentas Ligue 1. Beliau berjaya menjaringkan gol dalam 4 perlawanan berturut-turut menentang Monaco, Rennes, Lens dan Lorient.

Kemudian nama Ronaldinho mula menjadi bualan ramai setelah berjaya membawa PSG ke separuh akhir Coupe de la Ligue 2001-02. PSG bagaimanapun tersingkir kemudiannya, selepas tewas kepada Bordeaux 1-0.

Kontroversi Ronaldinho di PSG

Walaupun Ronaldinho banyak membantu pasukan pada musim 2001/2002, beliau tidak terlepas daripada kontroversi panas. Pada ketika itu, kontroversinya adalah bergaduh dengan pengurus PSG pada ketika itu, Luis Fernández.

Fernández mendakwa bahawa pemain dari Brazil itu terlalu tertumpu kepada kehidupan malam di kota Paris hingga menggugat prestasi disiplinnya di padang latihan. Beliau turut mendakwa Ronaldinho tidak memanfaatkan cuti rehat yang secukupnya.

Meskipun sibuk berparti di malam hari, prestasi Ronaldinho di atas padang tetap tak terjejas.

Meskipun bergaduh dengan Fernandez, Ronaldinho tetap kembali ke pasukan untuk musim 2002/2003. Tetapi kali ini dengan tugas lebih penting – sebagai pemain yang memakai jersi bernombor 10.

Musim terakhir di PSG

Ketika awal musim 2002, aksi Ronaldinho bersama PSG amatlah mengecewakan. Persembahannya gagal memikat hati penyokong PSG berbanding dengan aksinya musim lepas.

Faktor bermain di bawah tunjuk ajar pengurus pasukan yang tak disukainya (Fernandez) adalah satu faktor. Media pula menyalahkan gaya hidupnya yang suka berparti.

Tetapi Ronaldinho adalah Ronaldinho. Jika prestasinya menurun, beliau mampu mengembalikan kecemerlangan prestasinya semula.

Ronaldinho kembali mempamerkan aksi yang mengagumkan pada 26 Oktober 2002 apabila beliau berjaya menjaringkan 2 gol dalam kemenangan 3-1 bagi perlawanan Le Classique menentang Olympique Marseille dalam aksi Coupe de la Ligue.

Gol pertama hadir melalui sepakan percuma sejauh 18 meter yang menewaskan penjaga gol Marseille, Vedran Runje. Jaringan itu begitu mengejutkan, ia mendapat pujian menggunung pengulas perlawanan.

Kegemilangan Ronaldinho ketika aksi Le Classique berterusan lagi apabila beliau sekali lagi menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 PSG dalam perlawanan timbal balik di Stade Vélodrome.

Bagaimanapun, Ronaldinho gagal membawa PSG ke final Coupe de la Ligue 2002/2003 selepas tunduk 2-3 kepada FC Nantes.

Persembahan individu Ronaldinho bersama PSG cemerlang dan mendapat pujian ramai. Tetapi ia masih belum cukup untuk membawa PSG ke kedudukan lebih terpuji di Ligue 1.

Pada musim 2002/2003, PSG sekadar menduduki tangga ke-11 Ligue 1, dengan hanya mencapai 14 kemenangan daripada 38 perlawanan.

Cuma jika ada satu perkara positif yang boleh Ronaldinho ambil disebalik kegagalan PSG layak ke kejohana Eropah pada musim 2002/2003, ia adalah fakta yang beliau sudah mula berada dalam radar peninjau bakat (scouts) kelab-kelab ternama dunia.

Antara yang berminat adalah Manchester United dan Barcelona.

Menjadi rebutan United & Barcelona

Antara salah satu manifesto Joan Laporta ketika bertanding sebagai presiden FC Barcelona dalam pilihanraya pemilihan presiden kelab Catalonia itu adalah – menandatangani David Beckham.

Bagaimanapun David Beckham tidak berminat. Menurut laporan Manchester Evening News, Beckham menolak tawaran Barcelona kerana mereka tak layak bermain di UEFA Champions League pada musim 2003/2004.

Oleh itu, Beckham memilih seteru abadi Barcelona pula – Real Madrid.

Kredit: Photo by Matthew Ashton/EMPICS via Getty Images

Sebagai presiden baru FC Barcelona, Laporta perlu menyediakan pelan kontigensi (pelan kecemasan). Memandangkan Beckham sudah dibeli Real Madrid (dengan yuran perpindahan €35 juta), Laporta menyediakan 2 lagi alternatif – Ronaldinho dan Thierry Henry.

Memandangkan Henry tiada niat untuk berpindah keluar dari Arsenal, Barcelona beralih ke Ronaldinho pula.

Dengan pantas, Laporta membayar €27.41 juta kepada PSG untuk menebus baki 2 tahun kontrak Ronaldinho. Pada 21 Julai 2003, Ronaldinho diumumkan sebagai pemain terbaru Barcelona.

Kredit: JOSE JORDAN/AFP/Getty Images

Selepas itu – seperti kata orang putih – the rest is history.

Sumber:

1. Ciaran Kelly (2017). Why Ronaldinho’s transfer to Manchester United broke down in 2003. Daily Mirror. http://www.mirror.co.uk/sport/football/transfer-news/ronaldinhos-transfer-manchester-united-broke-10686303

2. Objetivo Ronaldinho. El Mundo Deportivo (in Spanish). 19 June 2003.

3. Barça break bank for Ronaldinho. UEFA. 21 July 2003.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN