Romelu Lukaku mengakui keputusannya meninggalkan Manchester United bagi menyertai Inter Milan adalah pilihan terbaik buatnya.
Kenyataan penyerang kelahiran Belgium itu ada kebenarannya apabila beliau kini sedang menikmati prestasi hebat bersama I Nerazzurri.
”Saya mesti mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih, kakitangan pasukan dan para penyokong. Mereka semua membantu saya sejak dari hari pertama [di Inter Milan].”
”Inter merupakan pilihan terbaik saya. Saya boleh berkembang di sini dan dapat memberikan sumbangan.”
”Tugas saya adalah untuk membantu pasukan ini dalam apa sahaja cara dan saya tahu penyokong menyukainya. Saya mesti mengekalkannya.”
”Sudah tentu, menjaringkan gol adalah objektif utama, bagaimanapun, saya tidak hanya memikirkan tentang diri saya sendiri, tetapi juga pasukan.”
”Saya di sini untuk mencapainya dan saya berharap agar dapat memenangi sesuatu. Bagaimanapun pada ketika ini saya hanya fokus pada [perlawanan menentang] Lecce.”
Sejak tiba di Milan pada 8 Ogos 2019 dengan nilai perpindahan berjumlah £74 juta, Lukaku telah berjaya menjaringkan 18 gol dalam semua kejohanan disertai setakat ini.
Dalam saingan Serie A pula, penyerang berusia 26 tahun itu kini terikat di kedudukan kedua dalam senarai penjaring terbanyak bersama Cristiano Ronaldo dengan 14 gol. Enam jaringan ketinggalan di belakang penyerang Lazio, Ciro Immbobile.
Kredit foto: Emilio Andreoli/Getty Images