Pahang Rangers Jalin Kerjasama Dengan Levante UD

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Pahang Rangers

Pasukan futsal elit, Pahang Rangers mengorak langkah besar dalam arena futsal tempatan apabila memeterai perjanjian kerjasama dengan kelab terkemuka Sepanyol, Levante Union Deportiva (Levante UD) dalam satu majlis di sini, pada Rabu.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah futsal tanah air sebuah kelab dari Malaysia menandatangani MoU bersama sebuah pasukan luar negara.

Pada majlis tersebut Pahang Rangers telah diwakili Presidennya YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah manakala Levante UD pula diwakili Presiden Francisco Javier Catalan Vena.

Turut hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan tertinggi kedua-dua pasukan, serta tiga pemain kebangsaan yang menyarung jersi Pahang Rangers Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd Ali dan Syafiq Hamzah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis :

YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah:
“Banyak kerja keras telah diletakkan untuk kami sampai ke tahap ini, kami bermula sebagai sebuah pasukan kecil yang bercita-cita tinggi beberapa tahun lalu dan kini pada 2020, kami gembira untuk mencatat satu sejarah baru dalam arena futsal, menjadi kelab pertama menjalin kerjasama dengan pasukan dari luar negara.

“Ia satu kebanggaan buat kelab ini untuk mendapat tunjuk ajar dan perkongsian pengetahuan daripada kelab besar seperti Levante dalam usaha bukan sahaja untuk membangunkan pemain dan jurulatih Pahang Rangers tetapi pembangunan futsal di Malaysia secara keseluruhan.

“Secara ringkas, dengan kerjasama ini, perancangan kami adalah untuk membenarkan pemain, jurulatih dan pengurusan untuk belajar daripada salah satu kelab terbesar dan paling berjaya di Sepanyol, baik Futsal mahupun bolasepak. Seperti kita tahu Liga Futsal Sepanyol adalah antara terbaik di dunia.

“Kerjasama ini membolehkan kami menghantar pemain untuk berlatih bersama Levante selama 2-3 minggu, Levante juga akan menerima kehadiran jurulatih kita bagi tujuan penempatan (attachment) seterusnya membawa pulang kepakaran daripada mereka ke sini.”

Sebagai rekod, Pahang Rangers merupakan naib juara Malaysian Premier Futsal League 2019 dan baru-baru ini telah melantik Gerard Casas Ullastre sebagai ketua jurulatih baru bagi musim 2020, selain membawa masuk tonggak Harimau Malaya Awalluddin Mat Nawi, sekaligus menjadikan kesemuanya lapan pemain kebangsaan menyarung jersi pasukan itu musim ini.

“Kami tidak ragu kerjasama ini akan mencipta lebih peluang kepada kedua-dua pihak, kami percaya Gerard akan memastikan kerjasama dengan Levante ini akan menjadi satu kejayaan, seterusnya memanfaat dan mempraktikkan sebaik mungkin pengetahuan yang akan dikongsi kedua-dua pasukan. Kami cukup berbesar hati dan berharap kerjasama ini akan memberi impak besar kepada arena futsal tanah air,” tambah YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Levante UD, Jose Danvila pula berkata, “Kami teruja dengan kerjasama ini, kami meneroka peluang menjalin kerjasama serta mengukuhkan hubungan dengan kelab-kelab dari Asia serta Asia Tenggara, dan visi Pahang Rangers cukup menarik perhatian kami.

“Kedua-dua kelab berkongsi nilai dan keinginan yang sama, mahu memartabatkan futsal dan Pahang Rangers diketahui telah meningkat sebagai sebuah kelab yang kompeten serta mempunyai pelan strategik untuk terus mengorak langkah dan kami sedia membantu, berkongsi kepakaran untuk mereka mencapai sasaran ditetapkan.”

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U