Legenda Arsenal, Robert Pires telah menyatakan hasratnya untuk terjun ke bidang kejurulatihan dengan lebih serius sekaligus ingin menjadi ketua jurulatih atau pengurus dalam masa yang terdekat.
Menurut sumber Goal, bekas pemain tengah yang kini berusia 46 tahun itu masih belum bertindak selaku jurulatih secara sepenuh masa tetapi melakukan kerja-kerja dalam membantu pasukan Arsenal sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Sehubungan dengan itu, Pires merasakan sudah tiba masanya untuk beliau membabitkan diri secara total dan menggalas tugas selaku ketua jurulatih dan mengakui beliau berminat untuk belajar di Sepanyol.
”Terdapat beberapa orang telah mengambil keputusan untuk menjadi jurulatih atau pengarah sukan atau juga sebagai perunding [konsultan]. Saya telah mengambil jalan ini dan memberikan saya peluang untuk terus bersama dengan bola sepak.”
”Tetapi, saya merasakan kejurulatihan adalah kerja yang baik, walaupun setiap hari adalah hari yang sukar.”
”Saya rasa pada tahun akan datang, saya akan mengambil diploma dalam kejurulatihan dan saya merancang untuk melakukannya di Sepanyol.”
“Saya tidak dapat nyatakan pasukan mana yang akan saya bimbing nanti. Sejujurnya saya tidak dapat memilih. Anda tidak akan tahu di mana anda akan berada apabila menjadi jurulatih.”
”Mari saya berikan contoh seperti Sabro Lamouchi, di mana dia sangat gembira dalam saingan [EFL] Championship, bersama Nottingham Forest. Jurulatih akan meletakkan diri mereka dalam pasaran dan mereka akan menilai berhubung proposal [tawaran] yang mereka terima.”
”Saya boleh mengatakan kepada anda yang saya mahu melatih Arsenal, Metz, Reims, Marseille atau Villareal, tetapi saya tidak boleh melakukannya. Hari ini sangat rumit,” ujar Pires menurut laporan Goal.