Quantcast

BERITA

Respons Kami Terhadap Pendedahan Fakta Bola Sepak TMJ

Semalam (8 Oktober 2015), DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan beberapa fakta bola sepak yang menyentuh:

i. isu penswastaan liga
ii. pengurusan kewangan pasukan dan
iii. pasukan kebangsaan dan Harimau Muda

TMJ turut menulis:

“Kepada laman-laman web dan facebook bolasepak, janganlah beri harapan palsu kepada penyokong. Cakap berpandukan fakta, berikan maklumat yang betul kepada penyokong.”

“Jangan sebarkan gosip kerana ia tidak akan membawa ke mana.”

Bagi menyahut perintah baginda, kami membuat artikel ini. Tujuannya adalah untuk memberikan fakta dan maklumat betul kepada anda.

Kenyataan 1: Pembahagian wang hak penyiaran MP & Silva

Mengenai isu ini, TMJ menulis:

“Perjanjian terbaru FMLLP antara FAM dan MP SILVA, hasil penyiaran dibahagikan seperti berikut: pasukan-pasukan bertanding menerima 30%, FAM 40%, pengurusan liga 20% dan untuk pengadil serta pengurusan akar umbi 10%.”

“Sebagai contoh, sekiranya jumlah hasil penyiaran liga setiap tahun adalah RM70 juta, RM21 juta akan diagihkan kepada semua pasukan dimana setiap pasukan mendapat RM1 juta.”

“FAM menerima RM28 juta, pengurusan liga RM14 juta dan untuk pengadil dan pengurusan akar umbi sebanyak RM7 juta.”

Lebih kurang 3 bulan lepas, kami menemu ramah CEO FMLLP, Kevin Ramalingam.

kevinsemuanyabola2-compressed

Untuk pengetahuan anda, FMLLP adalah sebuah syarikat yang ditugaskan untuk mengurus penswastaan Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia bermula tahun 2016.

Dalam temu ramah tersebut, Kevin mengesahkan FAM akan menerima RM28 juta (40% daripada RM70 juta setahun yang diberikan oleh MP & Silva).

Sumber daripada TV3 dan The Star juga mendedahkan maklumat sama. Ya, FAM akan mendapat pembahagian terbesar.

Kenyataan 2: Pengadil sepatutnya diuruskan oleh badan bebas dan profesional.

Sebagai individu paling vokal yang mahukan badan kepengadilan yang profesional, bebas dan telus ditubuhkan, TMJ menulis:

“Sepatutnya peruntukan pengadil disalurkan kepada badan pengurusan pengadil yang berkecuali, supaya tiada isu berat sebelah kepada setiap pasukan.”

Dalam temu ramahnya bersama kami, Kevin menjelaskan FMLLP sedang melihat peluang untuk menubuhkan badan kepengadilan yang professional. Menurut Kevin:

“Kami perlu bekerjasama dengan FAM untuk mengenalpasti pengadil tempatan manakah yang berpotensi menjadi pengadil professional.”

FMLLP juga mahu membawa pengadil dari luar negara seawal-awalnya pada 2016.

Kenyataan 3: Mengapa FAM terima RM28 juta jika tidak mengurus liga?

“Menjadi persoalannya, mengapa FAM menerima RM28 juta sedangkan FAM tidak menguruskan liga?”

“Perjanjian terdahulu antara FAM dan ASTRO, FAM menerima RM30 juta hingga RM40 juta daripada ASTRO setiap tahun dengan syarat diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam RM1 juta atau RM2 juta.”

“Tetapi JDT hanya menerima RM180,000 sahaja. Ke mana pergi selebihnya?”

Inilah soalan pertama yang kami ajukan kepada Kevin ketika menemu ramahnya.

Dengan FAM yang tidak akan mengurus liga lagi bermula 2016, apa yang FAM nak buat dengan RM28 juta itu?

Menurut temu bual Kevin dengan Four Four Two Malaysia, wang tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan kos FAM.

Dan berdasarkan temu bualnya bersama kami, Kevin menjelaskan pembangunan akar umbi adalah salah satu tanggungjawab FAM yang akan menikmati RM28 juta tersebut.

Ini bermakna ada sesuatu yang tak kena dengan carta pai yang TV3 siarkan dalam slot Buletin Utama sebelum ini.

11174723_10205221983841535_7469236166910883532_o

Dalam carta pai TV3 ini, pembangunan bakat muda hanya akan menerima RM7 juta. Menurut Kevin:

“Bagi saya label carta pai tersebut agak menyimpang.”

“Saya sudah menjelaskan bahawa RM7 juta ini akan diberikan sebagai insentif kepada pasukan yang menaik taraf kemudahan latihan mereka.”

“Ketika ini, masih banyak pasukan yang tidak mempunyai kemudahan latihan yang lengkap.”

FAM songlap duit?

Mengenai kes JDT yang hanya menerima RM180,000 sahaja berbanding RM1-2 juta yang dijanjikan oleh FAM ketika mengikat perjanjian dengan Astro, kami berpendapat FAM perlu tampil menjelaskan situasi sebenar.

Tetapi memandangkan FAM sendiri membisu ketika Ultras Malaya mengamuk ketika perlawanan menentang Arab Saudi tempoh hari, eloklah kita berhuhuhu sahaja.

Kami juga sangsi dengan kebolehan pentadbiran FAM sekarang untuk mentadbir pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Setakat ini, segala rancangan pembangunan akar umbi bola yang diurus FAM langsung tak membuahkan hasil.

Daripada projek Skuad Olimpik 2000 sehinggalah projek Harimau Muda.

Tuhan saja tahu apa lagi projek gagal yang mereka akan buat dengan wang RM28 juta tersebut. Sedangkan, apa yang kita perlukan hanyalah liga kompetitif untuk pemain akar umbi.

Ada betulnya apabila TMJ menulis:

“Harimau Muda ni diwujudkan kerana ada individu yang ingin mengambil kesempatan membuat duit. Dihantar ke sana sini, tetapi bila ada perlawanan, tak pernah menang pun.”

“Sepatutnya, jika semua pasukan mempunyai asas kewangan kukuh, pembangunan belia diwajibkan daripada umur 8 tahun hingga 16 tahun kepada semua pasukan yang bertanding.

“Tetapi malangnya mereka tidak ada peruntukan.”

Kenyataan 4: FAM merompak hak pasukan

“Di liga-liga bolasepak maju, 90% hasil hak penyiaran diagihkan kepada pasukan, manakala apa sahaja yang mereka dapat melalui penajaan adalah merupakan bonus tambahan untuk pasukan.”

“Berbeza dengan kita, Astro membayar kepada FAM RM220 juta sejak 2011 hingga 2014 dengan syarat FAM mengagihkan kepada semua pasukan bertanding.”

“Kita semua tahu ini pasukan-pasukan bertanding tidak menerima apa-apa, dan FAM telah “merompak” hak pasukan.”

Ketika ini, pasukan hanya akan menerima 30% daripada RM70 juta setahun yang diberikan oleh MP & Silva. Atau RM21 juta.

Dan memang benar seperti yang diperkatakan oleh TMJ, di liga-liga bola sepak maju, majoriti duit hak penyiaran akan diagih-agihkan kepada semua pasukan.

Contohnya di England.

plmoney61-2480247

Antara tahun 2013-2016, jumlah pendapatan hak siaran Liga Perdana Inggeris di UK sahaja mencapai £3.018 bilion. Ini bermakna, setiap tahun mereka mendapat lebih kurang £1 bilion.

Pada musim lepas, Premier League mengagihkan £0.962 bilion kepada semua 20 pasukan yang bertanding.

Ini bermakna, lebih 90% wang hak penyiaran dipulangkan kembali kepada semua 20 pasukan.

Dalam temu ramah Kevin bersama Four Four Two Malaysia, jumlah peratusan yang diterima pasukan akan meningkat secara beransur-ansur kepada 70%.

Manakala jumlah peratusan yang diterima FAM akan menurun apabila pendapatan liga meningkat.

Kenyataan 5: Berbelanja mengikut kemampuan

TMJ turut mengkritik tabiat pengurusan kewangan sesetengah kelab yang buruk:

“Kita mestilah berbelanja mengikut kemampuan. Jika kita dapati dana pasukan kita amat terhad, kita boleh kurangkan pengambilan pemain import dan lebihkan pembangunan pemain tempatan.”

“Janganlah sampai kita melebihkan pemain import sehingga nasib pemain tempatan kita terabai.”

Dalam temu ramah kami juga, Kevin mendedahkan ada pasukan bola sepak yang defisit bajetnya melangkau RM3-4 juta!

Berdasarkan berita semasa yang mendedahkan kegagalan sebuah pasukan untuk membayar gaji pemain, kami rasa anda tahu pasukan mana yang dimaksudkan oleh Kevin.

Kesimpulan

“Sampaikan kepada semua penyokong dari utara ke selatan situasi sebenar yang berlaku dalam bola sepak.”

Inilah mesej TMJ kepada laman-laman web dan Facebook bolasepak semalam.

Dengan artikel ini, kami telah jalankan tanggungjawab kami untuk memberitahu anda situasi sebenar dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh TMJ.

Dengan fakta-fakta yang kami lampirkan, anda tentukanlah siapa yang benar-benar mencintai bola sepak negara.

Baca: Temuramah Eksklusif Bersama Kevin Ramalingam, CEO FMLLP

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!