Temuramah Eksklusif Bersama Kevin Ramalingam, CEO FMLLP (Siri 1/3)

Kevin Ramalingam adalah Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) FMLLP, sebuah syarikat yang ditugaskan untuk mengurus penswastaan Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia bermula tahun 2016.

Kami meminta beliau menjawab soalan kami dan beberapa soalan yang kami kumpul dari Fanpage FB SemuanyaBOLA tentang isu penswastaan liga, NFDP, cadangan menggabungkan Piala FA dan Piala Malaysia, kemasukan Opta Sports ke liga tempatan, cadangan menyingkirkan Lions XII dan buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia.

Semuanya BOLA (SB): Boleh perkenalkan diri anda kepada pembaca kami dan beritahu mereka apa itu Football Malaysia LLP?

Kevin Ramalingam (KR): Pertama sekali, nama saya Kevin Ramalingam. Saya dilantik untuk menerajui Football Malaysia LLP sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Football Malaysia LLP ditubuhkan untuk menggerakkan bola sepak Malaysia ke arah penswastaan. Ini bermakna setiap pasukan akan mempunyai suara dalam industri bola sepak Malaysia sebagai pemegang saham (stakeholders) dalam liga, bukan sebagai anggota semata-mata.

Dulu, mereka mungkin hanya diberi peluang untuk bermain di liga sahaja. Sekarang sebagai stakeholders, mereka boleh mempengaruhi polisi dan peraturan-peraturan dalam liga yang mereka bermain. Mereka juga akan mendapat habuan pendapatan hasil daripada keuntungan liga. Semakin lumayan keuntungan liga kita, maka semakin lumayanlah pendapatan setiap pasukan.

SB: Sebelum ini anda berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TRW. Boleh anda beritahu kami bagaimana pengalaman anda di TRW akan membantu anda mentadbir Football Malaysia LLP?

KR: Pengalaman bekerja di TRW amat bermakna bagi saya. Bila kami cuba menghasilkan peraturan dan mendorong penswastaan sekarang, pengalaman di TRW membolehkan saya memahami masalah-masalah dari perspektif pasukan. Kami tak boleh melihat dari perspektif FAM dan Football Malaysia LLP sahaja. Kami juga kena melihat dari perspektif pasukan dan peminat.

Ramai orang berkata pengalaman saya sebagai CEO TRW akan membantu saya di Football Malaysia LLP. Tetapi bagi saya, pengalaman saya sebagai peminat bola sepak di umur 12, 13 dan 14 tahun juga membantu saya. Pengalaman saya pergi ke stadium, berbaris untuk masuk ke stadium, dan menyokong pasukan – semua ini juga membantu saya di Football Malaysia LLP. Jadi pengalaman saya sebagai penyokong dan CEO TRW membolehkan saya memahami pandangan peminat dan pasukan.

kevinsemuanyabola1-compressed

SB: Peminat bola sepak Malaysia banyak mengkritik FAM kerana mendapat jumlah terbesar daripada RM70 juta yang diterima daripada MP & Silva, iaitu RM28 juta. Manakala semua pasukan yang bertanding hanya menerima RM21 juta secara keseluruhannya. Bolehkah anda jelaskan kenapa FAM menerima jumlah yang terbesar?

KR: Seperti yang anda tahu, saya pernah bekerja untuk Kelantan sebagai CEO TRW. Kita semua tahu Kelantan FA adalah antara pengkritik FAM paling lantang, terutamanya Tan Sri Annuar Musa yang sentiasa mahukan perubahan dalam bola sepak tempatan. Jadi saya pernah berada di pihak yang mengkritik. Jadi apabila FAM melantik saya yang pernah bekerja untuk Kelantan FA, ia menunjukkan FAM juga mahukan perubahan dalam bola sepak tempatan. Mereka juga mahukan yang terbaik untuk bola sepak kita.

Tetapi saya juga perlu memahamkan orang ramai tentang isu ini. Kita mesti faham liga-liga bola sepak tempatan adalah harta (properties) FAM. Sebagaimana laman web Semuanya BOLA adalah harta syarikat anda. Pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga pula adalah pemegang saham (stakeholders) dalam liga yang bakal diswastakan nanti. Ini adalah amalan yang juga dipraktiskan di liga-liga luar negara. Sebelum ini pasukan-pasukan ini hanya sekadar anggota sahaja. Mereka bukan pemegang saham dalam liga.

Jadi untuk membolehkan setiap pasukan mempunyai saham masing-masing dalam liga, FAM perlu mendapat sesuatu kerana untuk mengurus harta ini, FAM juga mengeluarkan kos.

Sebelum penswastaan liga, FAM sudah menerima RM30 juta lebih setahun. Astro pernah membayar RM30 juta setahun kepada FAM. Ketika itu, pasukan-pasukan yang bertanding tiada saham pun dalam liga.

Sekarang selepas penswastaan, FAM menerima RM28 juta setahun (bermula 2016 sehingga 2021). Pasukan-pasukan yang bertanding pula akan ada saham dalam liga. Jadi secara perbandingan, FAM sebenarnya menerima jumlah yang lebih kecil daripada apa yang mereka biasa dapat sebelum ini.

Jadi sengan pegangan saham ini, pasukan-pasukan yang bertanding sebenarnya akan menerima jumlah yang lebih besar daripada apa yang mereka biasa dapat sebelum ini. Jumlahnya 5 kali ganda lebih besar! Malah, mereka sudah boleh mengundi untuk mengubah polisi dan undang-undang liga. Ini satu lagi kelebihan yang besar.

Katakanlah liga kita nanti mencatat keuntungan yang besar, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan sebahagian besar keuntungan tersebut menjadi milik pasukan kerana pasukan yang memeriahkan liga. Semakin untung liga kita, semakin tinggi jumlah yang diterima oleh pasukan-pasukan yang bertanding.

kevinsemuanyabola2-compressed

SB: Jadi adakah FMLLP berfungsi sebagai badan yang mewakili kepentingan pasukan-pasukan dalam liga?

KR: Tidak. Kami berfungsi sebagai badan tengah yang mewakili kepentingan kedua-dua pihak iaitu FAM dan pasukan-pasukan dalam liga.

SB: Apa perubahan yang akan berlaku selepas penswastaan liga? Adakah akan ada lebih banyak perlawanan siaran langsung di TV? Adakah harga tiket akan menjadi murah?

KR: Selepas penswastaan liga nanti, ya. Lebih banyak perlawanan siaran langsung akan disiarkan di TV. Kami ada komitmen dengan MP & Silva untuk menyiarkan semua 6 perlawanan Liga Super dan sesetengah perlawanan Liga Perdana secara langsung di TV.

Dari segi harga tiket, bagi kami ia sudah cukup berpatutan. Bandingkan dengan J League di mana pemain-pemain mereka menerima gaji purata tahunan sebanyak USD200,000 atau sekitar RM600,000-700,000 setahun.

RM600,000-700,000 setahun adalah sekitar RM50,000-60,000 sebulan. Itu adalah jumlah gaji purata tahunan sama yang diterima oleh pemain-pemain di Malaysia. Ini bermakna pemain di Malaysia menerima gaji sama banyak seperti pemain di Jepun. Tetapi harga tiket perlawanan di Jepun adalah sekitar USD30 (sekitar RM110), sedangkan kita di Malaysia hanya perlu membayar maksimum RM30 sahaja.

Bajet gaji pemain pasukan kita hampir sama dengan pasukan di J League. Tetapi harga tiket kita jauh lebih murah daripada tiket J League. Jumlah penyokong yang datang ke stadium di Jepun dan Malaysia juga hampir sama. Jadi, orang Jepun sendiri tak faham bagaimana kita boleh meletakkan harga tiket yang semurah itu.

Jika harga tiket RM15 boleh menjana pendapatan RM4 juta setahun untuk pasukan, harga tiket RM110 boleh menjana pendapatan yang jauh lebih besar untuk pasukan. Bayangkan. Jadi ini sesuatu yang kami sedang kaji untuk memastikan aspek kewangan setiap pasukan sentiasa terkawal.

SB: Adakah akan ada badan kepengadilan yang professional dan bebas selepas penswastaan liga nanti?

KR: Ya, kami sedang melihat peluang untuk menubuhkan badan kepengadilan yang professional. Kami juga melihat peluang untuk membawa pengadil dari luar negara juga. Ini sesuatu yang kami mahu buat secepat yang mungkin (musim 2016).

Kami perlu bekerjasama dengan FAM untuk mengenalpasti pengadil tempatan manakah yang berpotensi menjadi pengadil professional. Kami juga mahu menaikkan standard badan kepengadilan supaya pengadil dapat melakukan kerja dengan berkualiti.

Siri 2/3: Kevin menjawab isu pembangunan bakat muda yang hanya menerima RM7 juta dan masa depan graduan akademi NFDP.

Siri 3/3: Kevin memberi komen tentang cadangan peminat bola sepak tempatan yang mahu singkirkan Lions XII dari Liga Super.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN