Penyerang Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez seakan-akan menangkis spekulasi yang melibatkannya dengan Manchester United apabila mengakui beliau amat gembira berada di Molineux Stadium.
Jimenez ketika ini sedang menikmati musim cemerlang bersama Wolves setelah menjadi sandaran utama di jentera serangan buat Wolves dalam memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.
Selepas mengharungi 32 perlawanan, Wolves berada di landasan tepat untuk layak ke saingan paling berprestij di Eropah itu selepas skuad bimbingan Nuno Espirito Santo tersebut menghuni tangga keenam dengan mengumpul 52 mata.
Lebih menarik, Wolves memiliki jumlah mata yang sama dengan pasukan di tangga kelima, Manchester United dan hanya dipisahkan dua mata di belakang Chelsea. Ia bakal menjadikan perebutan slot tersebut semakin menarik untuk disaksikan.
Rentak cemerlang The Wanderers turut diserikan lagi dengan kemaraan mereka ke peringkat 16 yang mana aksi pertama di Greece bertemu Olympiacos sebelum saingan dihentikan susulan wabak yang melanda berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Prestasi peribadi ditampilkan Jimenez pada musim ini juga begitu memberangsangkan apabila beliau berjaya menjaringkan 24 gol dalam 47 penampilan di semua pertandingan yang disertai Wolves.
Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah jika terdapat pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi Jimenez menegaskan beliau gembira bersama Wolves pada ketika ini.
”Saya berasakan cukup baik,” ujar Jimenez menurut laporan yang dikeluarkan oleh Goal
”Dua tahun yang begitu luar biasa. Saya merasakan hubungan baik di antara saya dan kelab ini terjalin sejak dari awal lagi, sejak kedatangan saya di sini.”
”Saya sangat gembira dapat berada di sini.”
Jimenez sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang mana beliau hanya akan berpindah sekiranya mendapat tawaran daripada Barcelona atau Real Madrid, jika tidak beliau hanya akan terus kekal bersama Wolves untuk memburu tempat ke saingan UCL.