Liverpool memantapkan jentera tengah pasukan tersebut dengan pemain berkelas dunia apabila berjaya membawa masuk Thiago Alcantara dari Bayern Munich dengan yuran perpindahan bernilai £25 juta.
Perkembangan terbaharu itu sudah pastinya menghadirkan senyuman di wajah setiap penyokong The Reds yang menantikan pengumuman rasmi dilakukan juara bertahan Liga Perdana Inggeris tersebut.
Thiago menjadi pemain kedua yang direkrut oleh Jurgen Klopp bagi menghadapi musim 2020/21 selepas sebelum ini beliau mendapatkan khidmat pemain pertahanan kelahiran Greece, Kostas Tsimikas pada Ogos lalu.
Mengulas mengenai langkah baharu dalam karier profesionalnya itu, Thiago mengakui menjadi impiannya untuk menyarung jersi Liverpool.
”Saya rasa ini merupakan satu perasaan yang sangat luar biasa. Saya menantikan dengan cukup lama untuk saat ini dan saya sangat, sangat gembira dapat berada di sini.”
”Apabila musim berlalu, anda cuba untuk memenangi sebanyak perlawanan yang anda boleh lakukan dan apabila anda menang, anda mahu terus memenanginya lagi.”
”Saya merasakan kelab ini menggambarkan diri saya. Saya mahu mengecapi segala sasaran, memenangi seberapa banyak piala yang boleh,” ujar Thiago menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Liverpool.
Thiago hadir ke Anfield dengan reputasi yang cukup besar apabila beliau baharu sahaja menjadi tonggak kepada kejayaan Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah 2019/20. Beliau juga turut pernah memenangi kejuaraan yang sama ketika menyarung jersi Barcelona pada musim 2010/11.
Berjaya membuktikan kualiti hebat ketika bersama kelab di saingan La Liga dan Bundesliga, cabaran baharu bakal menanti beliau bersama kelab Merseyside itu yang dalam usaha untuk mengulangi pencapaian muncul juara EPL musim lalu serta sekali lagi menakluk pentas Eropah.
Kredit featured image: Liverpool FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Thiago Alcantara: