STL 2020: Perak Bison Mudah Atasi Selangor Pistons Untuk Julang Piala Sumbangsih

Perak Bison

Perak Bison membuka tirai saingan Sepak Takraw League (STL) 2020 Liga Premier dengan langkah bergaya apabila berjaya mencatatkan kemenangan mudah 2-0 ke atas Selangor Pistons pada perlawanan pertama yang juga merupakan aksi Piala Sumbangsih, sebentar tadi.

Regu Perak Bison yang dibarisi Meor Zulfikar Amin selaku Tekong, Fadzil Mustapa [Striker] dan Azwan Muhrin [Feeder] dilihat tidak menghadapi begitu banyak masalah untuk menewaskan gandingan Azman Hamid, Hafiz Abdul Rahman dan Farhan Adam.

Jika Perak Bison turun selaku juara Liga Premier 2019, Selangor Pistons pula merupakan pasukan yang baharu sahaja dinaikkan pangkat ke saingan utama setelah muncul juara Playoff Divisyen 1 pada musim lalu.

Meskipun Selangor Pistons mempertaruhkan trio yang cukup berpengalaman, ia tidak langsung menggentarkan skuad bimbingan Edy Yusman Abdul Manap itu untuk mempamerkan aksi kemas.

Sehubungan dengan itu, Perak Bison mudah memenangi set pertama dengan keputusan 21-11 sebelum mereka diberikan sedikit cabaran pada lewat set kedua untuk mengesahkan kemenangan 21-14.

Setiap perancangan barisan pemain Perak Bison pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu nyata serba menjadi sehingga memberikan kesukaran buat para pemain Selangor Pistons.

Ia jelas dibuktikan apabila servis daripada Meor Zulfikar serta rejaman padu Fadzil Mustapa menjadi watak utama kemenangan Perak Bison di samping ketenangan Azwan mengumpan bola dengan cukup baik.

Aksi cemerlang Meor selaku tekong jelas mencuri tumpuan apabila beliau berjaya meledakkan 13 servis ‘ace’ pada perlawanan ini.

Selain daripada aksi cemerlang ditampilkan Perak Bison, hadiah kemenangan bagi Piala Sumbangsih ini telah disumbangkan kepada Pusat Jagaan Nurekhwan Ku, Klang dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Dahikmah, Gopeng.

Kredit featured image: Astro Arena

Leave a Reply