Luqman Hakim sah menjadi pemain Malaysia pertama menandatangani kontrak profesional di Liga Belgium selepas menandatangani kontrak 5 tahun bersama KV Kortrijk hari ini.
Pengesahan itu dibuat dalam satu majlis khas di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur antara Luqman sendiri dengan wakil KV Kortrijk yang juga pemiliknya, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Duta Besar Belgium di Malaysia, Pascal Gregoire dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon.
Menurut sumber yang kami terima, nilai kontrak 5 tahun Luqman dianggar berjumlah RM3 juta, tak termasuk bonus-bonus lain yang bergantung kepada tahap persembahannya untuk KV Kortrijk.
KV Kortrijk menamatkan musim 2019/2020 Pro League Table di tangga ke-11. Diasaskan pada tahun 1971, KV Kortrijk kemudiannya dibeli oleh Vincent pada tahun 2015, 5 tahun selepas jutawan hartanah itu membeli Cardiff City di England.
Ketika diminta mengulas mengenai kejayaan menambat aset muda paling berharga Malaysia itu, Vincent berkata:
“Saya gembira selepas berbincang selama beberapa minggu dengan Selangor FA, Luqman Hakim berjaya menandatangani kontrak dengan KV Kortrijk dan memulakan karier profesionalnya di Eropah.
“Saya harap dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan fokus kepada latihan. Saya akan pastikan dia kekal berada dalam perancangan KV Kortrijk. Saya yakin kerja keras dan keazamannya akan membolehkannya mencapai matlamat di sana, dan menjadi inspirasi kepada pemain muda lain.”
Bekas majikan Luqman, Selangor pula menyatakan yang mereka memahami betapa pentingnya usaha untuk membentuk bakat muda negara demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan komitmen ini selari dengan matlamatkan negara memiliki pemain terbaik.
“FAS [Persatuan Bolasepak Selangor] percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya,” jelas FAS.
“Di FA Selangor, kami memahami betapa pentingnya usaha dalam memupuk bakat muda demi masa depan bola sepak Malaysia. Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam membantu meningkatkan karier para pemain ini.
“Negara kita juga telah menyaksikan kelahiran pelbagai kisah kejayaan yang juga boleh dilihat sebagai bukti komitmen kelab ini yang selari dengan matlamat ini,” memetik lanjut kenyataan rasmi yang telah disiarkan tersebut.
Luqman merupakan salah seorang daripada 80 pemain muda berbakat seluruh dunia yag tersenarai dalam anugerah Golden Boy anjuran akhbar Itali, Tuttosport. Beliau juga tersenarai dalam senarai tahunan Next Generation’s 60 anjuran akhbar UK, The Guardian.