RASMI: Jersi Nombor 8 AC Milan Milik Sandro Tonali

Sandro Tonali AC Milan

Salah satu prospek terhangat di Eropah, Sandro Tonali akhirnya memilih AC Milan sebagai pasukan baharunya selepas melengkapkan proses pinjaman dari Brescia dengan pilihan pembelian secara tetap.

Pemain muda sensasi Itali itu yang mempamerkan aksi mengkagumkan pada musim pertamanya di Serie A bersama Brescia sudah pun dijangka akan menyertai mana-mana pasukan gergasi Eropah selepas pasukannya tersingkir dari saingan liga utama.

Beliau telah menjaringkan enam gol serta 16 bantuan jaringan daripada 89 penampilan untuk Brescia.

Dicanang sebagai ‘Pirlo Baharu’, Milan tidak mahu pemain tengah berusia 20 tahun itu terlepas kepada pasukan lain dan segera menyelesaikan rundingan untuk membawanya masuk ke San Siro.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AC Milan dalam kenyataannya gembira dengan kehadiran Tonali ke AC Milan.

“Dia kini merupakan salah seorang pemain muda paling berbakat dalam bola sepak. Sandro sendiri mengakui dia beminat dan sukakan kelab ini dan tentunya dia memahami nilai yang ada di sini. Mari bersama-sama membina semula kegemilangan. Selamat datang Sandro!”

Pengarah Teknikal Milan, Paolo Maldini turut mengalu-alukan kemasukan Tonalo ke keluarga Rossoneri dan berharap pemain muda berbekat besar itu akan memberikan sumbangan besar untuk kejayaan kelab pada masa hadapan.

Selepas mempamerkan kualitinya pada musim lepas, Tonali telah pun dipanggil untuk mewakili skuad senior Itali dan telah mengumpul tiga kaps di peringkat antarabangsa sejak 2019. Beliau juga telah membuat 11 penampilan bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) Itali dan lima penampilan untuk skuad B-21.

AC Milan juga telah mengesahkan Tonali akan menggunakan jersi nombor 8 yang pernah digunakan oleh Gennaro Gattuso sebelum ini. Sebelum ini nombor tersebut milik Suso yang telah berhijrah ke Sevilla.

Kredit Foto: AC Milan

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Sandro Tonali dan AC Milan:

Leave a Reply