Zlatan Ibrahimovic: Saya Mahu Letak AC Milan Di Tempat Sepatutnya

Zlatan Ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic yang baharu sahaja memeterai kontrak lanjutan bersama AC Milan melaungkan keyakinan bahawa beliau mahu meletakkan kelab tersebut kembali berada di tempat yang sepatutnya.

Ibrahimovic yang menyertai AC Milan buat kali kedua pada Disember tahun lalu dengan kontrak selama enam bulan pantas membuktikan bisa sentuhannya masih belum hilang berikutan keupayaannya menjaringkan 10 gol pada 18 penampilannya dalam saingan Serie A 2019/20.

AC Milan juga mencatatkan keputusan memberangsangkan sebaik sahaja saingan liga kembali bersambung pasca wabak yang melanda apabila berjaya menundukkan tiga pasukan di kedudukan lebih baik iaitu Juventus, AS Roma dan Lazio.

Keadaan itu turut meletakkan AC Milan di tangga keenam liga sekaligus melayakkan mereka beraksi di pusingan kelayakan Liga Europa musim 2020/21.

”Saya gembira. Saya ke sini untuk membawa keputusan [yang baik], tidak mahu untuk menjadi maskot.”

”Saya mahu membawa AC Milan kembali ke berada di tempat asalnya,” ujar Ibrahimovic menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Berbeza dengan tahun [musim] lalu, saya mempunyai peluang untuk bermula dari awal musim. Secara fizikalnya saya berada dalam keadaan yang sangat baik.”

Kali terakhir AC Milan muncul juara Serie A ialah pada musim 2010/11. Lebih menarik untuk diperkatakan, musim tersebut juga menyaksikan Ibrahimovic dipinjamkan ke AC Milan dari Barcelona sebelum melengkapkan perpindahan secara tetap ke San Siro pada musim berikutnya.

Serie A sememangnya cukup dekat dengan jiwa Zlatan Ibrahimovic berikutan kejayaannya dinobatkan selaku penjaring terbanyak liga sebanyak dua kali iaitu pada musim 2008/08 [Inter Milan] dan 2011/12 ketika menyarung jersi AC Milan.

Sejak tujuh musim kebelakangan ini, pencapaian dalam saingan liga nyata tidak begitu baik buat AC Milan apabila mereka tidak berjaya menamatkan saingan di kelompok empat pasukan teratas.

Keadaan itu sekaligus menyaksikan sudah tujuh musim juga AC Milan merindukan aksi saingan Liga Juara-Juara Eropah yang pernah dimenangi mereka sebanyak tujuh kali. Pencapaian yang menjadikan skuad Rossoneri itu sebagai kelab terbaik Itali dalam kancah tersebut.

Kredit featured image: Paolo Rattini/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Zlatan Ibrahimovic:

Leave a Reply