Ingin Sertai AC Milan, Sandro Tonali Tolak Tawaran Barcelona, Man Utd

Sandro Tonali

Presiden Brescia, Massimo Cellino mendedahkan bahawa pemain tengah berbakat besar, Sandro Tonali telah menolak tawaran kelab-kelab terkenal dunia seperti Barcelona, dan Manchester United dalam usahanya untuk beraksi bersama AC Milan.

Kematangan aksi yang ditampilkan Tonali walaupun beliau baharu sahaja berusia 20 tahun telah menarik minat kelab gergasi Eropah untuk mendapatkan khidmatnya.

AC Milan nyata menjadi pasukan kesayangannya sejak dari kecil lagi dan beliau juga menjadikan legenda kelab tersebut, Gennaro Ivan Gattuso [kini pengurus SS Napoli] sebagai idolanya.

Minat mendalamnya untuk beraksi di San Siro itu juga turut mengecewakan musuh tradisi, Inter Milan yang turut berusaha keras bagi merekrut penjaring tujuh gol saingan Serie A 2019/20 tersebut.

”Saya tahu bahawa Beppe Marotta [Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Inter Milan] sangat mahukan Tonali dan Antonio Conte juga menghargai bakatnya, jadi saya merasakan ejennya telah mencapai persetujuan dengan Inter.”

”Dia sudah tekad dan yakin bahawa dia akan berhijrah ke Inter, tetapi ianya berlanjutan dan liga semakin menghampiri musim baharu tanpa sebarang perkembangan terkini berhubung perkara tersebut,” ujar Cellino menurut laporan Goal.

”Selepas Milan menunjukkan minat yang sebenar, dia sudah tidak lagi mendengar tawaran lain sebagai pilihan. Saya juga mempunyai hubungan baik dengan Milan dan kami mencapai persetujuan bersama Paolo Maldini [Pengarah Teknikal AC Milan] dengan pantas.”

”Barcelona dan Manchester United juga menunjukkan minat, tetapi dia telah jatuh cinta dengan Milan dan menjadi ‘gila’ selepas menerima tawaran daripada kelab itu, kerana dia benar-benar menyokong mereka [AC Milan].”

”Kami menolak tawaran bernilai €65 juta dari Barcelona pada Januari lalu dan beberapa hari kemudian, Manchester United menawarkan lebih €10 juta berbanding apa diberikan Milan,” tambah Cellino lagi.

Tonali bakal ke AC Milan secara pinjaman selama semusim bernilai €10 juta dengan pilihan pembelian secara tetap pada akhir musim 2020/21 dengan harga €15 juta serta potensi tambahan sebanyak €10 juta.

Pengurus Juventus, Andrea Pirlo juga sebelum ini menilai Tonali sebagai jauh lebih baik berbanding dirinya ketika zaman beraksi dan beranggapan pemain kelahiran Lodi, Itali itu cukup baik dari aspek bertahan dan menyerang.

Seorang lagi legenda Itali, Francesco Totti pula melihat Tonali sebagai kombinasi di antara Pirlo dan Gennaro Gattuso serta turut merasakan potensi hebat dimiliki pemain tengah Brescia itu mampu menjadikannya sebagai pemain tengah terbaik di dunia satu hari nanti.

Kredit featured image: Giuseppe Cottini/NurPhoto via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Sandro Tonali:

Leave a Reply