Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) baharu sahaja mengumumkan secara rasmi kehadiran pemain baharu, Muhammad Danial Amier Norhisham dari Felda United bagi menyuntik kekuatan skuad bimbingan Benjamin Mora itu dalam menghadapi saingan 2021.
Kehadiran pemain tengah berusia 23 tahun itu disahkan kelab tersebut menerusi satu majlis memperkenalkan pemain yang diadakan di Bilik Sidang Media, Ibu Pejabat JDT, Iskandari Puteri, sebentar tadi.
Seperti yang diakui sendiri DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam sidang media pada 21 Oktober lalu, Baginda sememangnya sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Danial tetapi klausa tinggi sebelum ini telah membantutkan usaha tersebut.
Bermula sebagai pelatih di Frenz United pada tahun 2014, Danial yang lebih mesra disapa ‘Boy’ dalam kalangan rakan sepasukannya menyertai Felda United pada musim 2017 dan bekas jurulatih Felda United, B. Satiananthan menjadi individu penting dalam memberikannya ruang untuk membuktikan kualiti dimiliki.
Kejayaannya menjaringkan gol kemenangan ketika membantu skuad menewaskan Arab Saudi dalam Kejuaraan AFC B-23 2018 di China sekali gus melayakkan Malaysia buat pertama kali ke peringkat suku akhir telah melonjakkan lagi nama Daniel.
Beliau juga turut menganggotai skuad Sukan SEA 2017 yang meraih pingat Perak selepas tunduk 0-1 di tangan Thailand pada perlawanan akhir dan lebih membanggakan, Daniel telah membuat penampilan bersama skuad senior kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Jordan, Ogos tahun lalu.
Kini, segalanya di landasan tepat buat Daniel yang mengikat kontrak selama dua tahun bagi mengembangkan lagi karier profesionalnya bersama JDT. Sudah pasti menjadi impian beliau untuk menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu.
Dengan fasiliti berkelas dunia serta mendapat tunjuk ajar dari rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan JDT, tidak mustahil buat Danial untuk mencapai sesuatu yang lebih hebat dalam kariernya.
Selain daripada kancah domestik yang bakal diharungi dan sudah pastinya ingin ditakluki mereka, JDT juga akan terus membawa cabaran negara dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat musim ketiga berturut-turut.
Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers
Baca artikel lain dari kami mengenai Danial Amier Norhisham:
Danial Amier Akui Teringin Sertai JDT Namun Tetap Hormati Kontrak
Gagal Ujian Aksi Sulung, Danial Amier Norhisham Diberikan Peluang Kedua