Hector Bidoglio telah sah dilantik oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pengendali baharu kelab itu selepas pemergian Benjamin Mora semalam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh JDT, Bidoglio menjawat jawatan sebagai ketua jurulatih kelab itu berkuatkuasa secara serta-merta.
RASMI: Benjamin Mora Berpisah Dengan JDT Atas Faktor Peribadi
Bidoglio memiliki reputasi baik kerana ketika zaman bermain, beliau merupakan pemain kebangsaan bagi negaranya iaitu Venezuela.
Memulakan karier pengurusan di Argentina bersama-sama Newell’s Old Boys, Bidoglio mempunyai banyak pengalaman termasuklah menjadi pembantu mantan pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa ketika di pasukan kebangsaan Chile.
Selain itu, Bidoglio turut pernah belajar di Sepanyol bersama-sama pasukan handalan seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dengan sukacitanya mengumumkan Hector Bidoglio, bekas pemain Venezuela sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan berkuat kuasa serta merta.
“Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009,” ujar JDT dalam kenyataan mereka.
Bidoglio menggantikan Mora yang melepaskan jawatannya di Stadium Sultan Ibrahim selepas terpaksa pulang ke Mexico bagi menyelesaikan hal peribadi yang tak dapat dielakkan.