Aidil Sharin: “Kalau Mourinho Jaga Kedah Pun Dia Sukar Juga”

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) , Aidil Sharin Sahak jelas mengakui sedikit kecewa dengan aksi yang ditampilkan oleh barisan pemainnya semalam terutama sekali di separuh masa kedua.

Menurut beliau, segalanya bermula dengan sangat baik di separuh masa pertama apabila mereka berjaya beraksi dengan positif serta memperoleh gol awal untuk menekan Kuala Lumpur City (KL City).

Namun segalanya seakan tidak menjadi apabila KL City melakar kebangkitan menerusi dua jaringan pemain import tuan rumah iaitu Jordan Mintah untuk menewaskan KDA.

Menurut Aidil, punca pertahanan yang agak lemah sehingga memberikan penalti kepada KL City sepatutnya tidak patut berlaku.

Lebih memburukkan keadaan, KDA juga gagal menyudahkan peluang terhidang menerusi sepakan penalti yang turut diberikan juga, apabila Ronald Ngah Wanja mensia-siakannya.

“Kami mendapat penalti, ianya peluang untuk kami, tetapi kami tidak menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

“Kalau kami tidak mengambil peluang tersebut ketika berdepan dengan pasukan seperti KL City, kami tidak akan menang kerana kami melepaskan penalti tersebut.

“Tahap keyakinan pasukan juga terus jatuh dan sesetengah pemain tidak beraksi dengan bagus pada perlawanan tersebut,” jelas Aidil Sharin.

Dalam masa sama, Aidil juga mengakui kesukaran untuk dirinya mengendalikan pasukan ketika ini sebaik mungkin kerana ada yang mengalami kecederaan dan tidak sihat.

Pengendali tersebut juga mengatakan kepada media mengenai ramai pemain baharu menyertai KDA musim ini dan rombakan terpaksa dibuat musim ini.

“Semuanya baru. Kami menukarkan pemain import baharu musim ini dan berapa ramai pemain muda yang saya berikan peluang buat mereka untuk beraksi?

“Jika anda tidak suka peluang saya berikan buat pemain muda ini beraksi, siapa lagi yang bakal mewakili Kedah pada masa hadapan?

“Dan jangan anda lupa kami masih lagi berada dalam kedudukan lima terbaik ketika ini dengan bajet yang ada, banyak pemain baharu dengan menghampiri 80% keseluruhannya.

“Anda patut memberikan peluang buat semua pemain muda ini dan biarkan mereka berkembang untuk masa depan Kedah.

“Mana-mana jurulatih yang datang walau Mourinho sekalipun pastinya pastinya mengalami kesukaran untuk membentuk barisan pemain muda serta mentaliti pemain import dan tempatan dengan baik.

“Segalanya perlukan masa dan kami masih boleh menguruskannya dengan baik sehingga melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC,” terang pengendali tersebut.

Untuk rekod, ketika ini KDA berada di kedudukan kelima carta Liga Super 2022 dengan 17 mata diraih daripada 12 perlawanan telah dihadapi.

Leave a Reply