Quantcast

BERITA

Rahmad Darmawan Bakal Jurulatih Baharu Terengganu FC?

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Rahmad Darwaman yang juga merupakan bekas pengendali T-Team FC adalah antara calon yang bakal menggantikan tempat Irfan Bakti sebagai ketua jurulatih Terengganu FC (TFC).

Menurut sumber daripada Harian Metro, Rahmad yang pernah mengendalikan T-Team FC pada tahun 2016 hingga 2017 itu sudah pun menghantar ‘resume’ dan menyatakan minat untuk kembali semula ke Liga Malaysia.

“Bekas pemain kebangsaan Indonesia itu sudah menghantar borang permohonan kepada PBSNT, namun pihak persatuan masih belum memutuskan jurulatih mana yang bakal mengisi jawatan itu.

“Ini kerana setakat ini ramai jurulatih tempatan dan luar negara menyatakan kesediaan untuk membimbing skuad TFC berdasarkan permohonan yang diterima untuk mengisi jawatan itu,” kata sumber itu.

Kenangan Rahmad Darmawan ketika mengendalikan T-Team FC.

Selain Rahmad, nama Ulises Morais yang merupakan bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) turut dikaitkan dengan Terengganu FC.

Menurut sumber tersebut, pengalaman Morais di Liga Malaysia menjadi kayu pengukur kepada pemilihannya bagi mengisi jawatan ketua jurulatih Terengganu FC.

Morais bukan nama asing dalam kancah bola sepak tempatan apabila beliau berjaya membimbing JDT dalam melakarkan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut (Liga Super 2017).

Namun, jodoh Ulises Morais tidak bertahan lama apabila terpaksa memilih untuk meninggalkan JDT pada awal musim lalu atas alasan masalah kesihatan yang dialami ahli keluarganya.

Ketika ini, penolong jurulatih, Nafuzi Zain diberi kepercayaan mengendalikan skuad penyu untuk sementara waktu sebelum PBSNT mengumumkan nama jurulatih baharu pasukan itu.

Selepas dua perlawanan Liga Super, Nafuzi lulus ujian pertama selepas pasukannya mencatat keputusan seri 1-1 bertemu FELDA United dan menang tipis 1-0 ketika bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.