Quantcast

BERITA

PSM Mahu Pastikan Permukaan Padang SNBJ Berada Dalam Keadaan Terbaik

Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan mengkritik permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dilihat berada dalam keadaan tidak begitu memuaskan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Timor Leste.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali turut mengkritik mutu padang SNBJ yang disifatkan beliau sebagai ‘standard’ kampung kerana menganggu taktikal jurulatih dan boleh mencederakan pemain.

Malah, beliau turut mencadangkan agar perlawanan kedua – ataupun timbal balik di antara Timor Leste dan Malaysia dilangsungkan di stadium lain, misalnya di Stadium Shah Alam ataupun Stadium Selayang.

Mengulas mengenai isu padang tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud,  berkata dalam Stadium Astro, pihaknya memandang serius rungutan peminat dan menjelaskan keadaan padang itu menjadi teruk akibat hujan lebat.

“Kami memotong rumput mengikut saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pesuruhjaya perlawanan Persekutuan Bolsepak Antarabangsa (FIFA), iaitu 22 milimeter.

“(Padang teruk) akibat hujan pada hari perlawanan Jumaat lalu dan dalam tempoh beberapa hari ini, rumput baru mulai tumbuh.

“Sebelum perlawanan, kami akan melihat keadaannya dan jika perlu, kami akan potong,” katanya.

FOTO: FAM

Isu padang atau rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan perkara baharu sebaliknya ia tidak pernah berhenti sejak 1998 kerana rahsia struktur stadium yang tidak diketahui ramai rakyat Malaysia khususnya para jurulatih dan penyokong bola sepak tempatan.

Pelbagai usaha sudah dijalankan bagi mengembalikan kualiti padang itu sejak beberapa tahun lalu malah pada 2013, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin mengarahkannya stadium ini ditutup untuk pemulihan selepas aduan keadaan padang yang teruk.

“Bukan senang nak tukar rumput, bermacam-macam jenis rumput telah digunakan.

“Buat masa ini, saya kira rumput jenis ‘cow grass’ amat sesuai berikutan kestabilannya,” katanya lagi.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!