Rafael Nadal: Pemenang 20 Gelaran Grand Slam Yang Cintakan Bola Sepak

Rafael Nadal

Kejayaan menundukkan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic pada perlawanan akhir Terbuka Perancis di Stade Roland Garros menyaksikan Rafael Nadal menjulang trofi kejohanan tersebut buat kali ke-13 dalam kariernya.

Berbekalkan kemenangan yang boleh dianggap tidaklah terlalu sukar dengan keputusan 6-0, 6-2, 7-5 itu telah menghadiahkan gelaran Grand Slam ke-20 buat Nadal dalam kariernya sekali gus menyamai rekod dipegang legenda dunia, Roger Federer.

Namun, bukanlah pencapaian dalam sukan tenis yang menjadi perhatian pada ketika ini kerana Nadal sememangnya merupakan seorang peminat setia bola sepak dan hampir bergelar pemain sukan paling popular di dunia itu.

Anak saudara kepada legenda Barcelona

Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa legenda Barcelona, Miguel Angel Nadal merupakan bapa saudara kepada pemain tenis nombor dua itu.

Miguel Nadal yang beraksi di jentera pertahanan telah membantu Barcelona menjuarai saingan La Liga sebanyak lima kali iaitu pada musim 1991/92, 1992/93, 1993/94, 1997/98 dan 1998/99.

Beliau turut menikmati pengalaman beraksi di tiga saingan Piala Dunia [1994, 1998 dan 2002] dan telah membuat 62 penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol sebelum mengumumkan persaraan daripada kancah bola sepak profesional pada tahun 2005.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah Nadal amat meminati bola sepak dan sebagai anak saudara sulung dalam keluarganya pada ketika itu, beliau sering dimanjakan oleh bapa saudaranya itu.

Tidak menyebelahi bapa saudara, lebih meminati Real Madrid

Meskipun memiliki bapa saudara yang boleh dikatakan sebagai legenda Barcelona, ia langsung tidak mempengaruhi keputusan Nadal dalam memilih pasukan kegemarannya di Sepanyol.

Hal ini kerana beliau sememangnya merupakan peminat setia Real Madrid di mana beliau turut mempunyai hubungan yang cukup baik bersama presiden kelab, Florentino Perez.

”Dia merupakan peminat setia Real Madrid seumur hidupnya, kerana dia sangat meminati bola sepak,” ujar Toni Nadal, seorang lagi bapa saudara Nadal yang pernah menjadi jurulatih peribadinya [abang kepada Miguel Angel Nadal].

”Dia mempunyai bapa saudara yang bermain untuk Blaugrana [Barcelona] dan keluarga kami telah ‘berpecah’ di antara Catalans dan Madridista. Saya merasakan dia telah melakukan keputusan dengan cukup baik.”

Seorang pemain bola sepak yang baik

Menurut laporan dikeluarkan portal berita di Amerika Latin, Infobae, Toni turut mendedahkan bahawa Rafael Nadal merupakan seorang pemain bola sepak yang baik dan sangat klinikal di hadapan pintu gol.

”Dia mempunyai keupayaan dan berjaya melakukan dengan baik ketika bermain bola sepak. Dia merupakan individu penting di jentera serangan dan merupakan penjaring terbanyak buat pasukannya [Olympique].”

”Dia tidak mempunyai karakter seperti pemain posisi peranan nombor 9 yang menunggu bola lalu menyempurnakannya, tetapi dia akan lebih bergerak ke depan dari arah kawasan kiri kerana dia seorang kidal.”

Pada usia 12 tahun, ketika beliau perlu untuk membuat pilihan sama ada mahu menjadi pemain bola sepak atau tenis, Nadal mengambil keputusan berada di bawah kendalian Toni yang kemudiannya menjadikan beliau sebagai antara legenda dari sukan tersebut pada ketika ini.

Embed from Getty Images

Florentino Perez mahu Nadal jadi penggantinya

Aura dan kecintaannya terhadap Real Madrid menyebabkan presiden kelab, Florentino Perez mengimpikan supaya pemain tenis kelahiran Mallorca itu menggantikan tempatnya pada satu hari nanti.

”Nadal akan menjadi pilihan yang luar biasa buat Presiden Real Madrid. Dia merupakan salah satu duta terbesar buat Real Madrid di dunia.”

Menjawab kenyataan tersebut, Nadal tidak menolak kemungkinan itu dan tanpa berselindung turut mengharapkan ianya menjadi kenyataan.

”Anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku. Semua orang mengetahui bahawa saya memang cinta kepada bola sepak dan Real Madrid merupakan pasukan saya.”

”Bercakap tentang perkara itu pada ketika ini menjadi impian buat saya tetapi jika bertanyakan kepada saya, sudah tentu, saya mahu menjadi presiden. Walau apa pun, kita [Real Madrid] telah melakukan yang terbaik, kita memiliki presiden yang sangat hebat dan saya tidak merasakan Real Madrid memerlukan saya pun,” ujar Nadal bercakap kepada media kira-kira tiga tahun lalu.

Kredit featured image: Denis Doyle/Getty Images.

Baca artikel lain dari kami mengenai sukan lain selain daripada bola sepak:

https://semuanyabola.com/suebsak-phunsueb-jagoan-servis-kuda-terhebat-thailand/

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN