Qatar 2022: Teori Tindakan Bernardo Silva Tidak Raikan Gol Goncalo Ramos

Bernardo Silva Portugal gol tak rai Ramos Piala Dunia 2022

Kelihatan seperti Bernardo Silva mengelak meraikan jaringan pembukaan rakan sepasukannya, Goncarlo Ramos ketika membenam Switzerland.

Jaringan di minit ke-17 itu telah membuka akaun buat Portugal sebelum berkenduri besar 6-1 ke atas ‘Rossocrociati’ dalam pusingan 16 terbaik.

Mereka mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia 2022 dengan bergaya dan bakal membuat perhitungan dengan Maghribi pada Sabtu.

Heboh di media sosial apabila ada di kalangan penonton dan penyokong yang menyaksikan perlawanan itu mengesan tindakan pelik Silva itu.

Ramos adalah pemain yang mengambil alih peranan Christiano Ronaldo pada malam tersebut. Ramai yang terkejut dengan ketiadaan Ronaldo.

Sehingga ada yang katakan, pemain muda berusia 21 tahun itu akan terus diberikan kepercayaan menjadi pengganti Ronaldo dalam aksi selepas ini.

Adakah Silva kurang gembira dengan ledakan padu Ramos – yang telah mengambil alih posisi Ronaldo? Sebenarnya, situasinya bukanlah sebegitu.

Silva memang sudah meraikan jaringan tersebut terlebih dahulu sebaik sahaja ia tercipta. Namun, kamera ‘bird view’ memperlihatkan satu tindakan Silva yang sedikit pelik – meninggalkan keraian tersebut dan berada di dalam padang, cuma memandang dari jauh rakan-rakannya. Mengapa?

Bernardo Silva kembali ke padang selepas menyertai keraian gol
Bernardo Silva kembali ke padang selepas menyertai keraian gol. Foto: ITV/talksport
Bernardo Silva hanya melihat dari jauh
Bernardo Silva hanya melihat dari jauh. Foto: ITV/talksport

Ramai di kalangan penyokong dan penonton perlawanan itu merasakan yang beliau melakukannya agar Switzerland tidak memulakan semula perlawanan dan cuba meledak gol di saat ‘The Selecao’ leka meraikan gol.

Ia menggamit semula memori mereka kepada tindakan bek sayap England, Kieran Trippier yang tidak menyertai keraian gol pasukan ketika mereka menjaringkan gol kemenangan di hujung aksi saat menentang Tunisia di Piala Dunia 2018. Teori ini disebabkan Undang-Undang Permainan FIFA.

Di bawah Law 8, Undang-Undang Permainan FIFA, untuk perlawanan dimulakan semula, “semua pemain, kecuali pemain yang melakukan sepak mula, mesti berada di dalam kawasan padang permainannya sendiri.

Ramai yang masih percaya dan yakin, seorang pemain harus kekal di padang bagi mengelakkan pasukan lawan membuat sepakan semula.

Namun, ini hanyalah teori. Jika diteliti undang-undang, kita akan lebih memahaminya. Namun, undang-undang ini adakalanya terlalu kompleks.

Pelbagai persepsi dan pegangan dengan adakalanya di kalangan pengadil juga boleh berlaku salah faham konsep untuk undang-undang tersebut.

Ia turut membawa kita ‘terbang’ menelusuri kenangan di pusingan suku akhir kedua Piala Malaysia 2015 di antara Kedah dan PKNS FC yang menyaksikan situasi yang hampir sama telah berlaku, namun pengadil perlawanan didapati melakukan kesilapan dalam membuat keputusannya.

Pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim tampil membenarkan jaringan gol oleh PKNS FC di saat Sang Kenari sedang leka meraikan gol sepakan percuma Sandro da Silva. Situasinya, PKNS memulakan sepak mula selepas jaringan itu dihasilkan oleh Kedah. Ia mengundang kontroversi.

Inilah salah satu isu dan teori yang dirisaukan hampir semua pasukan.

Namun, dalam insiden melibatkan Kedah itu, menurut Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengadil melakukan kesilapan apabila telah membenarkan aksi bermula semula walaupun terdapat dua pemain Kedah di kawasan PKNS. Mereka telah dijatuhi hukuman gantung perlawanan oleh jawatankuasa tersebut.

Leave a Reply