Angel Di Maria: “Van Gaal Adalah Pengurus Paling Teruk Dalam Karier Saya”

Angel Di Maria

Pemain sayap Argentina, Angel Di Maria mendedahkan yang mantan pengendali Manchester United yang kini jurulatih Belanda, Louis van Gaal adalah pengurus paling teruk dalam kariernya.

Sebelum ini, Di Maria dan Van Gaal pernah bekerja sekali semasa kedua-duanya berada di England untuk mewakili United.

Di Maria yang hadir sebagai pemain tumpuan yang dijangka bakal menggegarkan Premier League pada waktu itu kemudiannya meninggalkan liga itu sebagai antara bintang paling teruk pernah beraksi di liga tersebut.

Dan dua individu ini akan bertemu sekali lagi namun dari sudut yang berbeza apabila Argentina akan bertemu Belanda dalam aksi suku akhir Qatar 2022.

Mengenang semula hubungan antara kedua-dua pihak ini, Di Maria berasakan yang Van Gaal adalah pengurus yang teruk dan tidak reti menghargai bakatnya.

Sebelum ini, beliau mendedahkan yang Di Maria pernah beraksi cemerlang dalam satu perlawanan namun keesokannya Van Gaal memanggilnya untuk mengkritik prestasinya.

“Hubungan kami retak, dan kerana itu saya mahu tinggalkan Manchester United. Pengurusan kelab tahu yang masalah saya di United adalah Van Gaal.

“Suatu hari, kami menang satu perlawanan dengan jaringan 3-0 dan saya menjaringkan gol serta melakukan bantuan jaringan. Keesokannya, saya dipanggil oleh Van Gaal dan beliau tunjukkan video setiap hantaran saya yang tidak menjadi.

“Beliau adalah pengurus paling teruk dalam karier saya,” jelas Di Maria.

Ramai yang berasakan Di Maria tidak berjaya di Premier League kerana pemain itu tidak mampu untuk bertahan dengan intesiti liga, sebaliknya beliau hanya tidak sukakan Van Gaal.

Pertemuan antara Argentina dan Belanda kali ini dianggap sebagai “penuh toksik” kerana isu Di Maria-Van Gaal serta dendam Oranje untuk menumpaskan La Albiceleste.

Hal ini disebabkan Argentina menyingkirkan Belanda di separuh akhir Piala Dunia 2014 di Brazil.

Leave a Reply