Punyai Hubungan Akrab Dengan Ollerenshaw & Kim Swee, Maloney Bakal Terbang Ke Sabah?

Brad Maloney Ong Kim Swee

Brad Maloney dilepaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas persetujuan bersama yang menyaksikan berakhir karier lapan tahunnya di sana dan adakah beliau bakal sertai kem Datuk Ong Kim Swee di Sabah FC?

Petang semalam, FAM telah mengeluarkan kenyataan berhubung masa depan pengendali berusia 50 tahun itu selepas beberapa siri kempen mengecewakan skuad B-23 negara sejak kebelakangan ini antaranya dalam saingan Sukan SEA dan Piala Asia B-23. Tiada impak dan perubahan ketara prestasi skuad muda negara.

RASMI: Brad Maloney Dilepaskan FAM Selepas 8 Tahun Berkhidmat

Kini, ke mana hala tuju Maloney? Pulang ke Australia semula dan meneruskan karier kejurulatihan di sana?

Tak mungkin pulang semula ke Australia

Mungkin tidak. Maloney sudah lapan tahun di Malaysia dan bergelumang dengan bola sepak negara. Selepas pemergian Kim Swee daripada FAM, Maloney meneruskan kariernya sebagai pengendali skuad muda negara. Beliau hadir ke Malaysia sebagai pembantu Kim Swee sejak 2014, ketika Harimau Muda berkelana ke Australia.

Bekas pemain Sabah di era 90-an, Scott Ollenrenshaw telah terbangkan Harimau Muda ke Australia untuk menyertai 2014 Queensland Nation Premier League (NPL). Ketika itu, bekas rakan sepasukannya di Sabah, Kim Swee sedang mengendalikan Harimau Muda. Perjanjian berjaya dicapai antara FAM dan Football Queensland.

Tahun sebelumnya, Harimau Muda telah menjalani beberapa aksi persahabatan di Australia atas aturan bekas pengendali Sabah, Gary Phillips. Melihat peluang menetap lebih lama di sana, mungkin satu perbincangan telah diadakan oleh Phillips, Ollerenshaw, Maloney dan juga Kim Swee. Ia telah direalisasikan setahun kemudian.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Football Queensland, Ben Mannion pernah mengatakan keakraban hubungan antara individu-individu tersebut dalam satu tembu bual bersama Guardian Australia pada 2014.

“Sebenarnya, terdapat hubungan akrab antara Gary [Phillips], Scott Ollerenshaw dan Brad Maloney, yang bekerja erat bersama FAM. Saya percaya rundingan awal bermula menerusi perbincangan antara mereka. Ia terbina sejak mereka bermain bersama dan hakikatnya mereka [Malaysia] datang ke sini tahun lalu dan Gary telah menyusun atur beberapa perlawanan untuk mereka.”

Ben Mannion, Guardian Australia, Februari 2014

Hubungan unik Gary, Ollerenshaw, Kim Swee dan Maloney

Phillips merupakan pengendali Sabah selama dua musim iaitu pada 2010 dan 2011 atas cadangan Ollerenshaw sendiri. Ollerenshaw adalah lagenda The Rhinos di era 90-an dan tentunya mereka menerima cadangannya.

Maloney pula tentunya mengenali baik Phillips kerana mereka merupakan pemain yang dahulunya beraksi di bandar New South Wales di era 90-an. Mereka boleh dikatakan wajah bandar tersebut sebagaimana dijelaskan dalam artikel dari Football NSW tentang Yayasan Bola Sepak Johny Warren yang diterbitkan pada Jun 2008.

“Jika anda perlu memilih skuad yang dibarisi pemain dahulu dan sekarang, pilihan hadirin pada malam gala tersebut nampak kukuh di setiap posisi. Pertahanan dibarisi pertahanan yang serba boleh Brendan Renaud, Simon Colosimo, Jean Paul de Marigny dan Ante Juric. Jentera tengah pula memiliki Gary Phillips, Paul Wade dan Brad Maloney yang akan membuat hantaran-hantaran kepada trio serangan Ante Milicic, Kimon Taliadoros dan Francis Awaritife.”

Football NSW, Jun 2008

Lagipun, hubungan antara Ollerenshaw dengan bola sepak Malaysia tidak pernah terputus selepas kariernya di Sabah berakhir pada 1997 apabila berkahwin dengan warganegara Malaysia dan atlet karate, Michelle Koh.

Mungkin atas faktor itu, ‘hubungan’ bola sepak antara Malaysia dan Australia senang terjalin yang kemudian menyaksikan Harimau Muda berpeluang bersaing di 2014 Queensland Nation Premier League (NPL) ketika itu.

Menetap di Sabah, bekas pemain skuad kebangsaan Australia di era 80-an itu juga sebenarnya individu yang telah membawa pulang beberapa pemain warisan ke Malaysia seperti Brendan Gan, Matt Davies dan Corbin Ong. Beliau kini diberikan peranan penting bersama Sabah iaitu sebagai Pengarah Teknikal sejak musim lalu.

Kehadirannya berjaya menggamit Kim Swee ke Sabah dan membawa satu revolusi baharu di sana bermula pada Piala Malaysia 2021. Musim ini boleh dikatakan yang terbaik buat mereka apabila berada di tangga kedua Liga Super selepas melalui 10 perlawanan – hanya satu mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kim Swee ketika ini dibantu oleh bekas rakannya ketika melatih Malaysia iaitu jurulatih kecergasan, Rastislav Bozik. Dan tentunya khabar pemergian Maloney daripada FAM sudah awal-awal dibaca oleh pihak Sabah dan mungkin sudah ada perbincangan untuk Maloney dilantik sebagai penolong kepada Kim Swee selepas ini.

https://twitter.com/harimaumalaya7/status/1496020391693000704

Gandingan yang mengukuhkan lagi jenama Sabah

Jika benar Maloney menyertai Kim Swee di Sabah, ia bakal menjadi satu lagi langkah besar buat mereka. Jika Kim Swee mampu menarik bekas anak-anak didiknya menyertai projek di sana, apa kurangnya Maloney?

Kim Swee telah membawa deretan bekas anak-anak buahnya bersama Malaysia dahulu untuk bersama The Rhinos. Pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Dominic Tan dan Gary Steven Robbat adalah antara yang menyahut panggilannya. Mungkin selepas ini, lebih ramai pemain muda pula bakal berkelana ke sana.

Pemain-pemain yang pernah dilatihnya ketika bersama skuad B-19 dan B-23 tentunya mudah untuk dipancing selepas ini. Mungkinkah Sabah akan menjadi hub kepada bekas-bekas pemain muda negara pula selepas ini?

Maloney tentu tidak akan menolak jika tawaran tersebut datang daripada Kim Swee dan Ollerenshaw.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN