Akhirnya, kapten Barcelona, Lionel Messi memilih untuk kekal sehingga kontraknya berakhir, tetapi sangat jelas, beliau tidak gembira dengan keputusannya itu.
Ini kerana, ia bukanlah kehendaknya untuk terus kekal bersama Barcelona, tetapi dek kerana sayangkan kelab tersebut dan tidak mahu mengheret isu ini ke mahkamah, Messi akhirnya mengalah buat sementara ini.
‘Sebab itulah saya perlu kekal’
Bercakap kepada Goal, Messi berkata, “Saya rasa dan pasti yang saya boleh tinggalkan kelab secara percuma. Presiden selalu berkata yang saya bebas untuk memilih sama ada kekal atau tinggalkan pasukan pada penghujung musim ini.”
“Sekarang mereka berpegang kepada fakta bahawa saya tidak mengatakan perkara itu sebelum 10 Jun, walaupun pada 10 Jun itu kita perlu meneruskan saingan La Liga di tengah-tengah pandemik Coronavirus, yang mengubah perjalanan liga.
“Dan itulah sebabnya saya perlu kekal berada di kelab ini,” jelas Messi sambil berkata yang sangat mustahil untuk mana-mana pasukan atau dirinya membayar klausa perlepasan sebanyak £624 juta untuk membenarkannya pergi.
Dan satu lagi jalan adalah membawa isu ini ke mahkamah, tetapi sebagai kelab yang disayanginya, beliau tidak pernah sesekali terfikir untuk melakukannya.
‘Saya ada hak untuk bersuara’
Membuka mulutnya mengenai hasrat perpindahan ini kepada ahli keluarganya juga sangat memedihkannya. Anaknya, Thiago menentang hasratnya itu sambil menangis apabila Messi mengatakan kepadanya yang mereka tetap harus pergi.
“Matteo masih kecil dan tidak tahu apa-apa mengenai perlu berpindah dan membina kehidupan di tempat lain selama beberapa tahun kemudian. Thiago, dia lebih dewasa. Dia mendengarnya di televisyen dan telah bertanya.
“Saya tidak mahu dia tahu yang saya terpaksa untuk meninggalkan kelab ini, bersekolah di sekolah baharu dan membuat kawan baharu. Dia menangis dan berkata, ‘janganlah pergi’. Saya jelaskan ianya sukar, sangat sukar,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau memahami kehendak anaknya itu dan itulah juga perasaannya ketika mengumumkan perkara tersebut. Beliau sayangkan Barcelona tetapi tetap menekankan yang beliau ada hak untuk membuat keputusan dan ianya tidak salah.
Penutup
Drama perpindahan keluar Messi akhirnya selesai dalam situasi yang masih kekok sebenarnya. Beliau sudah meletakkan sasaran untuk pergi meninggalkan Barcelona, namun akhirnya mengalah untuk tempoh beberapa bulan lagi.
Messi kini kembali ke Barcelona untuk membaiki prestasi musim lalu yang menyaksikan mereka gagal di saingan liga, Champions League dan Copa del Rey.
KREDIT FEATURED IMAGE: GOAL