City Dalam Kedudukan Terbaik Untuk ‘Rampas’ Messi Dari Barcelona

Barcelona kini berada di antara dua persimpangan, sama ada mahu kekalkan bintang utama mereka, Lionel Messi atau presiden kelab, Josep Maria Bartomeu.

Jika mereka memilih kemungkinan pertama, Manchester City akan menjadi pasukan pertama yang akan menyambut tangan pemain berusia 33 tahun itu untuk kembali bergabung bersama bekas pengurusnya, Pep Guardiola di Etihad.

Masa depan Messi di Barcelona sudah pun menjadi persoalan sejak beliau mengkritik pengarah sukan kelab, Eric Abidal secara terbuka dalam akaun media sosialnya pada awal musim ini.

Selepas hampir 20 tahun menabur bakti di Nou Camp, penyerang Argentina itu mungkin sudah bersedia untuk meninggalkan kelab Sepanyol tersebut selepas melalui musim terburuknya tahun ini terutamanya apabila Barcelona diaibkan dengan kekalahan 8-2 kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari.

Media England melaporkan,pemilik City, Sheikh Mansour bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi membawa masuk Messi ke Manchester memandangkan kontraknya kini hanya berbaki setahun sahaja lagi.

Terdapat klausa dalam kontrak Messi yang membolehkan beliau meninggalkan kelabnya secara percuma pada penghujung musim lepas, namun klausa tersebut telah pun tamat pada penghujung Mei lalu dan klausa pelepasannya kekal €700 juta (RM3.48 bilion).

Legenda Brazil, Rivaldo sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan beliau sangat berharap Messi dalam kembali bersatu dengan Guardiola di City jika memutuskan untuk meninggalkan Barcelona.

“Jika dia mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab, bermakna ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku di bilik persalinan Barcelona. Mungkin dia sudah letih dan bosan berdepan dengan pelbagai masalah yang berterusan melingkari kelab tersebut sejak beberapa bulan ini,” kata bekas bintang Barcelona itu.

“Apabila kontrak Messi [di Barcelona] tamat, dia sudah berusia 34 tahun, tetapi dengan kelas dan kualitinya, saya rasa dia masih boleh beraksi dengan baik di Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Tentu menyedihkan jika dia meninggalkan Barcelona apabila kontraknya berakhir, tetapi saya masih berharap dia bersabar dan kekal dahulu buat masa sekarang.

“Sekalipun mempunyai hubungan yang kuat dengan kelab, dia tetap mempunyai hak untuk berhijrah jika dia mahu dan bersatu dengan Pep Guardiola di City. Sangat menarik untuk kembali melihat gabungan jurulatih dan pemain terbaik seperti semasa mereka di Barca dahulu.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Lionel Messi dan Barcelona:

Leave a Reply