Genap seminggu dari sekarang, kejohanan bola sepak terbesar pada musim panas ini akan mengambil tempat di enam venue serata Brazil. Morumbi, Sao Paulo; Porto Alagre; Rio de Janeiro; Salvador; Arena Corinthians, Sao Paulo; dan Belo Horizonte akan menjadi pentas saingan 12 negara untuk merebut gelaran jaguh bola sepak Amerika Selatan.
Apa yang perlu kita tahu mengenai kejohanan yang memasuki edisi ke-46 penganjurannya pada kali ini? Berikut kami bawakan previu beberapa buah pasukan pilihan yang mengambil bahagian kali ini. Untuk artikel kali ini, kita akan ke Kumpulan A untuk mengikuti persiapan skuad Brazil.
Harapan menggunung tuan rumah
Brazil adalah sebuah pasukan yang sentiasa membawa harapan tinggi dari penyokong mereka setiap kali menyertai kejohanan antarabangsa. Pernah bergelar tuan rumah pada edisi 1922, 1949 dan 1989, Brazil mengekalkan rekod 100% sebagai juara di setiap edisi tersebut. Edisi 2019 ini tidak membawa banyak perbezaan dengan ekspektasi yang sama dari penyokong mereka.
Hakikatnya, penampilan Brazil di kejohanan-kejohanan utama dunia sejak sedekad yang lalu kurang memberangsangkan. Daripada tiga edisi Piala Dunia dan tiga edisi Copa America sebelum ini, Brazil hanya muncul sekali di separuh akhir. Tidak perlu kita ingatkan kepada penyokong Brazil mengenai keputusan separuh akhir tersebut.
Brazil’s squad numbers for Copa América were revealed today: pic.twitter.com/W9hG9aue5Z
— Paulo Freitas (@Cynegeticus) June 1, 2019
Jurulatih Brazil, Tite yang sebelum ini mencipta nama bersama Gremio muncul juara liga, Piala Lebertadores dan Piala Kelab Dunia akan terus dipertanggungjawabkan memimpin skuad Brazil – walaupun melalui kempen mengecewakan di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia pada musim panas lalu.
Isu taktikal hantui Tite
Isu taktikal sering menjadi persoalan buat Tite dan Brazil. Sistem 4-1-4-1 yang diperkenalkan oleh beliau dilihat lebih mirip 4-3-3. Tindakan Tite memberikan Philippe Coutinho peranan sebagai pemain tengah menyebabkan ketidakseimbangan di jentera tengah Brazil. Tatkala Barcelona sudah tidak berbuat demikian, Tite seperti masih teragak-agak mengenai peranan sebenar Coutinho di dalam pasukan.
Brazil adalah sebuah pasukan yang terkenal dengan ancaman dari bek sayap. Empat pemain bek sayap; Dani Alves, Alex Sandro, Eder Militao dan Felipe Luis berada di dalam senarai 23 pemain untuk kejohanan ini, menjelaskan betapa pentingnya peranan bek sayap di dalam sistem Brazil. Namun demikian, dibawah kendalian Tite, bek sayap diminta untuk beraksi dengan lebih berhati-hati untuk memberikan keseimbangan kepada pasukan – sekaligus mengurangkan ancaman dari bahagian itu.
Brazil manager Tite, here, explaining how he has used Liverpool tactics to get the best out of Roberto Firmino! ?? pic.twitter.com/fU5IXGrpLO
— Goal (@goal) September 12, 2018
Jika terdapat perubahan yang mungkin mahu dilakukan oleh Tite, ia mungkin adalah kepada formasi pasukan. Pada Mac lalu, kelemahan sistem 4-1-4-1/4-3-3 Brazil didedahkan secara ketara oleh Republic Czech dalam satu perlawanan persahabatan. Casemiro nyata gagal mengawal bahagian tengah secara berseorangan – apabila lawan memberi tekanan di bahagian tengah dengan kelebihan numerik.
Ketinggalan 1-0 pada ketika itu, Tite mengubah formasi pasukan kepada 4-2-3-1, dan berjaya mengawal permainan sebelum menang 3-1. Pemain tengah Manchester City, Fernandinho mungkin akan memainkan lebih banyak peranan berbanding ketika Piala Dunia yang lalu sekiranya Tite mahu beraksi dengan formasi sedemikian.
Tite’s Brazil Tactics – World Cup Tactical Preview
Watch the full video on YT: https://t.co/EEuEPt0pUQ#tite #brazil #WorldCup2018 #WorldCup #tactics pic.twitter.com/cNaMDdPDqh— Nouman (@nomifooty) June 5, 2018
Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Tite ialah mengenai peranan Roberto Firmino. Tatkala Firmino adalah pemain yang sangat sesuai dengan sistem No.9 jadian di Liverpool, Brazil pula memerlukan seorang No.9 yang lebih menyerupai seorang ‘target man’ untuk menjaringkan gol secara konsisten. Untuk ini, Tite harus mengambil keputusan sama ada untuk membina sistem yang berpandukan kepada Firmino atau pun sebaliknya.
Pemain tumpuan
Tiada Neymar untuk Brazil di Copa America 2019, selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu terpaksa disisihkan akibat kecederaan dalam perlawanan persahabatan menentang Qatar baru-baru ini. Ini menyebabkan bahagian serangan Brazil kelihatan sedikit tempang.
José Mourinho – “David Neres fully reflects what a Brazilian player is. For me, he is the best of the new generation.” pic.twitter.com/VpU1VFZ8Xh
— Brazil Football ?? (@BrazilEdition3) May 30, 2019
Namun jika prestasi sepanjang musim di bola sepak eropah yang lalu menjadi ukuran, Brazil sebenarnya tidak kurang pemain untuk menghadirkan impak di kejohanan ini. Bintang Ajax, David Neres misalnya menyinar bersama pasukan Belanda itu di UEFA Champions League dan pertandingan domestik. Bintang Everton, Richarlison juga cemerlang sejak diberikan debut oleh Tite bersama Brazil pada September tahun lalu.
Kedua-dua penyerang kini berusia 22 tahun, dan merupakan prospek untuk Brazil di Piala Dunia 2022 akan datang. Selain Firmino dan Gabriel Jesus, Tite turut boleh menyandarkan harapan kepada seorang lagi penyerang berusia 23 tahun, Everton untuk membentuk gandingan penyerang tiga serangkai Brazil.
Ramalan Semuanya BOLA
Kumpulan A boleh dianggap sebagai kumpulan paling mudah di antara tiga kumpulan di kejohanan Copa America 2019. Brazil dijangka tidak mempunyai masalah untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Namun demikian tekanan mungkin menjadi musuh utama Brazil walaupun beraksi sebagai tuan rumah – sepertimana yang berlaku ketika Piala Dunia 2014 sebelum ini.
Kegagalan mara ke perlawanan akhir pada 7 Julai hadapan akan dianggap sebagai malapetaka buat Brazil yang rakyatnya gila akan bola sepak.
Rumusan
Selain daripada isu taktikal, Tite turut berhadapan dengan masalah untuk menampilkan gandingan terbaik untuk setiap bahagian – terutama di tengah dan serangan.
Sejak kekecewaan tersingkir awal di Piala Dunia yang lalu, Brazil tampil cemerlang menang lapan dari sembilan perlawanan yang dihadapi. Namun corak permainan yang ditampilkan belum cukup untuk meyakinkan ramai pihak.
Piala Dunia 2022 mungkin dilihat sebagai sasaran jangka masa panjang yang lebih realistik buat skuad ini. Namun Brazil adalaj Brazil. Segala perancangan haruslah bermula dengan pencapaian positif di Copa America 2019.