Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Perkara Mengenai ‘The Little Samba Nation’, Timor Leste

Menjelang sepak mula pusingan 1, Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada malam ini dan juga 11 Jun depan, Semuanya BOLA bawakan kepada para pembaca 5 perkara mengenai Timor Leste yang mungkin perlu kita tahu.

Atas kertas, Malaysia dijangka mudah untuk menundukkan Timor Leste namun dalam kamus bola sepak, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada jangkaan. Jadi, apa yang kita perlu ketahui mengenai negara yang mencapai kemerdekaan pada 2002 ini?

Kelayakan Piala Dunia 2018

Pada Kelayakan Piala Dunia 2018 yang lalu, kedua-dua pasukan pernah bertemu antara satu sama lain. Ketika itu, kedua-duanya ditempatkan dalam kumpulan yang sama di pusingan kedua.

Timor Leste melepasi pusingan pertama selepas menang ke atas Mongolia 5-1 menerusi agregat. Begitupun, akibat memalsukan dokumen kelahiran 9 pemain kelahiran Brazil, semua keputusan perlawanan melibatkan ‘The Little Samba Nation‘ dibatalkan.

Ini termasuk dua perlawanan menentang Malaysia di Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Malaysia diberikan kemenangan percuma 3-0. Ia diumumkan pada Disember 2017.

Jika melihatkan keputusan sebenar, Harimau Malaya menang 1-0 dan seri 1-1 dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Dua gol Malaysia telah dijaringkan oleh Safee Sali dan Amri Yahyah.

Liga profesional bermula 2016

Liga bola sepak profesional di Timor Leste hanya bermula pada 2016 yang dinamakan sebagai Liga Futebol Amadora (LFA). Dan ianya dikatakan kian mula dibanjiri dengan pemain-pemain Indonesia antaranya yang ternama seperti Boaz Solossa.

Boaz Solossa, Timor Leste

FOTO: Indosport

Ia mempunyai dua divisyen merangkumi 20 kelab bertanding. 8 kelab bertanding di divisyen utama dan 12 lagi kelab pula di divisyen kedua. Begitupun, satu fakta menarik adalah 15 kelab tersebut berasal daripada satu daerah yang sama iaitu Dili.

Selain itu, pada awal ditubuhkan semua perlawanan liga dijalankan di stadium yang sama iaitu Stadium Nasional Dili. Dan bermula pada 2017, terdapat tambahan dua lagi stadium telah digunakan.

Kerjasama dengan kelab-kelab Portugal

Jika dilihat kepada nama kelab-kelab yang bertanding di LFA, ianya seakan-akan nama kelab-kelab ternama di Liga Portugal seperti Porto Taibesse, Sporting de Timor atau Benfica Laulara.

Ia seakan-akan nama kelab Porto, Sporting Lisbon dan Benfica di Portugal. Ini adalah inspirasi dan ‘lambang’ kerjasama antara kedua-dua negara. Adakah kerjasama ini benar-benar wujud?

Menurut temubual pemain berasal daripada Indonesia, Abdul Rahman bersama Goal ketika memilih meninggalkan Persib Bandung untuk menyertai kelab di Timor Leste, sememangnya wujud kerjasama antara kedua-dua negara tersebut.

Dia memilih untuk menyertai kelab Karketu Dili FC disebabkan kemungkinan untuknya diperhatikan oleh kelab-kelab Portugal adalah tinggi dan dia juga mungkin berpeluang untuk ke sana.

Begitupun, jodohnya dengan kelab tersebut agak singkat. Abdul Rahman akhirnya kembali ke Liga Indonesia selepas semusim.

Pertemuan antara kedua-dua pasukan

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung adalah pada Jun 2016, ketika bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2019. Dalam dua perlawanan, Malaysia merekodkan kemenangan selesa 3-0 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Malaysia, Timor Leste

FOTO: mStar

Rekod 5 pertembungan terkini menyaksikan Malaysia menang dalam 4 perlawanan dan 1 keputusan seri. Kemenangan terbesar dihasilkan pada Disember 2004 dalam saingan Piala AFF 2004 apabila menyaksikan Malaysia berpesta gol – 5 gol tanpa balas.

Keputusan seri yang direkodkan adalah ketika saingan kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun 2015 iaitu kedua-duanya terikat dengan keputusan 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun kemudian Malaysia diberikan kemenangan percuma selepas Timor Leste ‘kantoi’ memalsukan dokumen kelahiran pemain mereka.

Timor Leste mampu beri masalah

Pasukan di ranking 195 dunia ini bukanlah ancaman besar buat skuad Harimau Malaya ketika ini. Di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, Malaysia dilihat bermain dengan lebih tersusun biarpun sedikit bermasalah serta tumpul di jentera serangan.

Begitupun, dengan kehadiran pemain-pemain yang lahir daripada liga mereka kini, Timor Leste sudah boleh berbangga dengan produk mereka sendiri biarpun satu masa sebelum ini mereka pernah dibarisi dengan majoriti pemain naturalisasi daripada Brazil.

Pemain sayap muda seperti Joao Pedro misalnya, ketika ini sedang beraksi bersama Divisyen 3, Liga Thailand iaitu North Bangkok University adalah pemain berusia 18 tahun kelahiran Baucau, Timor Leste. Sebelum berhijrah, dia beraksi bersama Benfica Laulara.

Ketika di saingan Piala AFF 2018, ‘The Little Samba Nation’ ini telah menyenaraikan skuad yang amat muda, paling muda berusia 17 tahun dengan kaptennya, Jorge Sarbas Victor berusia 20 tahun.

Jorge Sarbas Victor

FOTO: AFF Suzuki

Penutup

Timor Leste mampu memberikan masalah jika Harimau Malaya gagal memberikan fokus sebaiknya. Dengan gandingan pemain yang sangat muda dan telah lama dikumpulkan bersama, mereka boleh memberikan ancaman menerusi serangan balas pantas.

Pemain seperti Joao Pedro, Henrique Cruz dan Rufino Gama mampu memberikan masalah buat barisan pemain negara. Tetapi, benteng negara yang ketika ini ditunjangi Shahrul Saad, Adam Nor Azlin, Matthew Davies dan pendatang baharu, Corbin Ong pastinya ampuh disertai pula dengan ketangkasan Farizal Marlias.

Itu adalah sebahagian ceritera mengenai pasukan yang kian meningkat di arena bola sepak Asean. Biarpun ranking mereka agak jauh ke belakang, namun dengan berbekal pemain semuda 17 tahun, ini adalah pelaburan masa depan buat Timor Leste.

Selamat berjaya Harimau Malaya. Pastikan nguman Sang Harimau mampu dijelmakan pada dua aksi kelayakan ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!