Quantcast

BERITA

Bintang Muda Portugal, Joao Felix Akan Putuskan Masa Depan Selepas UNL

Pemain muda Benfica dan Portugal, Joao Felix berkata beliau akan membuat keputusan mengenai masa depan beliau selepas perlawanan akhir UEFA Nations League (UNL) pada Ahad depan.

Felix berada di dalam kesebelasan utama, bergandingan dengan Cristiano Ronaldo untuk mengetuai jentera serangan Portugal, ketika membantu negaranya menewaskan Switzerland 3-1 di separuh akhir UNL.

Tarik minat kelab utama eropah

Pantas dicanang sebagai ‘Cristiano Ronaldo Baharu’ di negaranya Portugal, penyerang berusia 19 tahun ini sudah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab utama Eropah termasu Atletico Madrid, Juventus, Manchester City dan juga Manchester United.

Ketika ditanya oleh wartawan mengenai masa depan beliau untuk kempen musim baharu, pemain ini berkata:

“Ketika ini saya hanya mahu memberikan fokus kepada pasukan kebangsaan [Portugal]. Saya akan membuat keputusan mengenai masa depan selepas tamat kejohanan UNL,” ujar beliau seperti yang dilaporkan oleh Marca.

Saya tidak melayari media sosial sejak beberapa hari yang lalu untuk mengelakkan berita sensasi,” tambah beliau lagi kepada wartawan.

Benfica sedia lepas

Benfica dikatakan bersedia untuk membenarkan pemain itu meninggalkan Estadio Da Luz pada musim hadapan. Namun kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Felix harus membayar penuh klausa pelepasan bernilai €120 juta yang terdapat pada pemain itu.

Musim lalu, pemain remaja ini menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan untuk Benfica.