Previu Piala Malaysia 2019: Pertempuran Di Tengah Hangatkan Pertembungan JDT, Kedah

JDT Kedah Piala Malaysia

Perlawanan terakhir bagi musim 2019, ungkapan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak pada sidang media pra perlawanan akhir Piala Malaysia 2019. Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah akan menjadi dua pasukan terakhir yang akan berentap untuk sebuah lagi trofi bagi melengkapkan saingan Liga Malaysia musim 2019.

Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super 2019 merupakan calon utama untuk memiliki kejuaraan Piala Malaysia kali ini. Dan, bagi Kedah yang turun selaku calon bukan pilihan, kejuaraan Piala FA yang diraih membuktikan mereka juga ada kredibiliti untuk membawa pulang piala tertua di dalam negara tersebut.

Musim hujan akan menyebabkan padang sedikit basah dan kedua-dua pasukan perlu memikirkan solusi untuk menjadi perlawanan malam ini menarik untuk disaksikan oleh semua peminat bola sepak tanah air. Ia adalah cabaran utama buat JDT dan Kedah.

Ayuh kita soroti sedikit pencapaian dan previu untuk kedua-dua pasukan menjelang sepak mula pada malam ini.

Juara Liga Super vs Juara Piala FA

Ini bagaikan pertembungan Piala Sumbangsih yang diawalkan untuk para penyokong. Kedua-dua pasukan juga memiliki set penyokong yang sudah biasa dengan pentas akhir terutamanya Helang Merah yang sudah empat kali ke final dalam lima tahun.

Kedah bukanlah asing untuk pentas akhir Piala Malaysia. Ini adalah kali keempat dalam lima tahun terkini, mereka melangkah lagi ke final kecuali pada edisi lalu. Kedah adalah ‘pelanggan’ tetap. Ini yang menjadikan mereka sudah biasa dengan suasana final.

Piala FA yang diraih pada Julai lalu, menumbangkan juga calon utama, Perak dengan keputusan 1-0, mengejutkan ramai pihak di saat ramai menjangkakan Perak miliki kelebihan dek kerana juara lima kali Piala Malaysia itu kehilangan khidmat Renan Alves.

Sementara JDT pula meraih kejuaraan Liga Super pada Jun, tanpa perlu menunggu sehingga ke perlawanan terakhir liga apabila tiada lagi pasukan mampu mencabar jumlah mata yang diraih mereka ketika itu. Ianya adalah kejuaraan ke-6 liga buat mereka.

Berbaki empat perlawanan, Harimau Selatan membawa pulang kejuaraan liga kali ke-6 berturut-turut dengan pada akhirnya mata yang dikumpulkan adalah 53 mata – 10 mata di depan naib juara, Pahang serta merekodkan bolos paling sedikit dengan 19 gol.

Sentuhan magis Aidil Sahrin

Sentuhan magis Aidil Sharin sukar untuk dikatakan kerana apa sahaja akan direncanakannya bagi membolehkan Helang Merah bergerak akan membuahkan hasil. Apa sahaja yang ‘dilemparkan’ ke dalam padang, akan ada kesan kepada persembahan pasukan.

Fadzrul Danel
Foto: KFA

Pengendali berusia 42 tahun itu dilihat sangat peka dengan taktikal dan cepat serta tepat untuk membaikinya, jika terdapat sebarang masalah. Lihat sahaja bagaimana Aidil Sharin membawa masuk pemain muda, Fadzrul Danel pada masa tambahan di pentas akhir Piala FA, tidak sampai seminit, pemain tersebut akhirnya dijulang selaku wira apabila berhasil meledak gol kemenangan Kedah.

Itu belum lagi dikira percaturannya meletakkan pemain yang bukan regular malah bukan posisi tetapnya, Amirul Hisyam Awang Kechik selaku pengganti Renan Alves yang berkesudahan tiada sebarang gol dilepaskan oleh bekas pemain utama jentera tengah Kedah itu.

Kini, Kedah sekali lagi berdepan isu, malah lebih besar iaitu tanpa Renan Alves dan Rizal Ghazali yang merupakan tonggak utama di benteng pada musim ini. Apa pula percaturan pengendali yang digelar ‘Pep Guardiola’ Singapura itu pada malam nanti?

Benjamin Mora masih dibelenggu #MoraOut?

Harus diakui, pengendali berusia 40 tahun itu bukanlah figura yang digemari di JDT pada awal musim lalu. Ada sebilangan penyokong yang mendendangkan #MoraOut sejak awal musim namun kini, ia sudah tidak kedengaran lagi. Ke mana ianya menghilang?

JDT adalah pasukan serba lengkap, malah di pentas final ini, semua pemainnya bebas daripada penggantungan dan juga kecederaan. Satu perkara positif untuk turun berdepan skuad ‘tempang’ Kedah.

benjamin mora jdt
FOTO: JST

Gandingannya bersama Luciano Figueroa untuk membentuk JDT yang baharu dilihat menjadi. Setiap perlawanan, Harimau Selatan memiliki perancangan yang teliti, bagaimana mereka akan hadapi, siapa akan menjadi fokus utama, malah siapa akan menjadi peledak juga seakan-akan sudah ditetapkan sejak dari awal.

Mereka tidak hanya bergantung kepada Diogo semata-mata untuk memburu gol. Semua pemain di jentera serangan memiliki deria sentuhan gol yang sangat baik seperti Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez, Safawi Rasid dan Diogo, mereka seperti digilirkan untuk menjadi pencetak gol mengikut kepada perancangan perlawanan.

Afiq Fazail jadi tumpuan

Tidak susah untuk meramal siapa yang bakal membawa cabaran juara Piala Malaysia edisi 2017 itu. Yang menjadi persoalan kini, bagaimana percaturan Benjamin Mora untuk berdepan Kedah?

Kekuatan jentera serangan yang diketuai Diogo adalah kombinasi baik dikalangan mereka dan semuanya miliki deria sentuhan gol memungkinkan siapa sahaja boleh menjadi peledak malam nanti.

Fokus pada malam ini pastinya pada pemain yang telah kembali mendapat panggilan ke skuad kebangsaan selepas sekian lama, Afiq Fazail. Pemain yang memakai jersi nombor 4 ini sangat mobil dan sangat berkesan permainannya dalam membantu mengalirkan bola ke jentera serangan dengan kemas dan juga teratur. Dengan panggilan skuad kebangsaan di tangan, ia akan melonjak prestasi Afiq Fazail membentuk gandingan baik bersama Harris Harun.

Syamer Kutty Abba Afiq Fazail JDT Training
FOTO: JST

Selain itu, gandingan Mauricio dan Aidil Zafuan juga bakal diuji oleh jentera serangan Kedah yang telah meledak lima gol ketika menyingkirkan Pahang di separuh akhir baru-baru ini. S. Kunanlan dan Corbin Ong dijangkakan akan memainkan lebih peranan di bawah untuk membantu menghalang setiap asakan Kedah.

Siapa pengganti Duo ‘R’

Inilah kesukarannya. Kedah hilang dua pemain tonggak di benteng untuk aksi penting malam ini. Tanpa Renan Alves dan Rizal Ghazali, Aidil Sharin perlu mencongak pemain, malah strategi baharu bagi mengimbangkan perlawanan yang dijangkakan sengit nanti.

Dengan rekod pertembungan lima perlawanan terkini memihak kepada JDT dengan tiga kemenangan, bagaimana pengendali kelahiran Singapura itu mahu menyusun pasukannya kini?

Posisi lain tiada perubahan dijangkakan. Azamuddin Akil yang kembali ke tahap prestasi membanggakan ketika ini, bakal sekali lagi menjadi pertaruhan di sayap kanan menyerang Helang Merah untuk membantu Fernando Rodriguez yang telah meledak 9 gol.

Kapten penuh inspirasi Kedah, Baddrol Bakhtiar juga telah disuntik panggilan oleh Tan Cheng Hoe baru-baru ini. Sebagaimana Afiq Fazail, Baddrol Bakhtiar adalah pemain paling dominan sepanjang musim 2019 dan dalam separuh akhir baru-baru ini juga, pemain berusia 31 tahun itu mempamerkan sentuhan luar biasanya.

Baddrol

Khairul Helmi Johari, pemain yang kian dimakan usia dan posisinya itu akan kembali ke gelanggang untuk mengambil alih peranan Renan Alves sementara Amirul Hisyam Awang Kechik pula dijangka akan beralih dan beraksi di posisi yang rare buatnya, bek kanan.

Mampukah mereka menjadi pengganti yang tepat kepada Aidil Sharin bagi mengekang JDT dan membantu Kedah mengucup kejuaraan kedua mereka pada musim ini? Atau mereka bakal dijadikan lubuk kepada keberkesanan jentera serangan Harimau Selatan untuk melakukan kejuaraan treble pada malam ini?

Kedua-dua pengendali ini adalah wajah baharu Liga Malaysia dan pada usia awal usia 40-an, mereka adalah pembawa dan penetap standard baharu liga kita. Siapa bakal menjulang Piala Malaysia edisi ke-93 ini? Pertarungan taktikal menarik bakal disajikan dan diharapkan segalanya akan berlangsung penuh epik!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN