Pertemuan di antara Melaka dengan Selangor pada LS8 pastinya menjadi perhatian. 2 pasukan yang berbelanja besar pada awal musim ini pastinya mahu berada dalam landasan persaingan kejuaraan.
Prestasi semasa
Selangor berada dalam prestasi lebih baik buat masa ini. Mereka menang 3 perlawanan terakhir dalam semua kompetisi. Dalam 5 perlawanan terakhir Selangor hanya tewas sekali, seri sekali dan menang 3 kali.
Melaka pastinya tidak mahu membaca statistik ini. Mereka masih tak menang dalam 3 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Dalam 5 perlawanan terakhir, Melaka hanya menang sekali, seri sekali dan kalah 3 kali.
Rekod 5 pertemuan terakhir
Rekod kedua-dua pasukan dalam 5 pertemuan terakhir adalah seimbang. Melaka dan Selangor, masing-masing menang 2 dan seri sekali.
Berdasarkan rekod 5 pertemuan terakhir, perlawanan ini sangat produktif dengan gol. Di mana purata gol dihasilkan daripada perlawanan ini dalam 5 perlawanan terakhir adalah 4.2 gol per perlawanan.
Pemain tumpuan
Faiz Nasir (Selangor)
Beliau dalam prestasi terbaik ketika ini. Menjaringkan 3 gol dalam 3 penampilan terakhir untuk kelab dan negara. Sudah pastinya nama Faiz Nasir akan menjadi pemain pertama dalam senarai kesebelasan utama B. Sathianathan.
Khairul Fahmi (Melaka)
Harus diakui penjaga gol veteran ini masih menjadi pemain penting dalam kancah liga Malaysia. Melaka berhadapan dengan isu kesilapan defensif yang kritikal dalam perlawanan sebelum ini. Pastinya Khairul Fahmi akan menjadi watak penting di benteng terakhir pasukan.
Tekanan pada jurulatih
Selangor berjaya mendapatkan kemenangan dalam beberapa perlawanan. Namun B. Sathianathan masih belum boleh menarik nafas lega. Beliau pasti mahukan lebih konsistensi di dalam permainan secara berpasukan.
Tekanan pastinya lebih tinggi dirasai oleh Zainal Abidin Hassan. Hal ini kerana beliau sudah diberikan pemain-pemain yang berkualiti.
Cuma sedikit kelegaan pada Zainal adalah apabila pihak MUSA menegaskan mereka masih utuh di belakang pengendali pasukan mereka.
Jadi, keputusan positif sangat diperlukan oleh Zainal Abidin Hassan bagi meredakan sedikit tekanan tersebut dan kembalikan semulan fokus serta keyakinan para pemain.
Sebelum wisel
Perlawanan ini akan pastinya lebih mempertaruhkan kualiti taktikal bepasukan diikuti dengan kualiti individu.
Selangor pastinya tidak mahur rentak kemenangan mereka diganggu. Melaka pula masih mencari formula untuk membentuk satu pasukan yang mantap dan konsisten.
Secara asasnya ini bukan perlawanan yang mudah bagi kedua-dua pasukan kerana mereka memiliki beberapa nama yang mampu menjadi ‘game changer’.