Previu MSL 2019: Felda United & PKNP FC Intai Kemenangan Sulung Di Jengka

Felda United

Info perlawanan

  • Felda United lawan PKNP FC
  • Lokasi: Stadium Tun Abdul Razak, Jengka
  • Sepak mula: 9.00 malam
  • Pengadil perlawanan: Fitri Maskon

Felda United dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) sudah pasti turun ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini dengan misi untuk memperoleh kemenangan sulung dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2019.

Nasib berbeza aksi pembukaan

Kedua-dua pasukan yang mendapat sentuhan jurulatih tempatan itu menerima nasib berbeza ketika aksi pertama saingan liga pada minggu lalu.

Skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil yang kembali dinaikkan pangkat ke Liga Super berjaya mengikat Selangor 1-1 di Stadium Shah Alam.

Ketua pasukan Felda United, Mohd Hadin Azman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-69 bagi memadamkan kelebihan jaringan yang dihasilkan Antonio German.

Manakala PKNP FC yang menjadi tuan rumah pada pertemuan menentang Kedah terpaksa menelan kepahitan tewas 0-2.

Hadin Azman meraikan jaringan penyamaan ketika bertemu Selangor di Stadium Shah Alam.

Pertemuan terdahulu

Aksi malam ini merupakan perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan beraksi sesama sendiri dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, Felda United pernah dua kali melayani kunjungan PKNP FC di Jengka bagi kempen Piala Malaysia dan Piala FA.

Lebih menarik, PKNP FC berjaya memenangi kedua-dua perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak yang menyaksikan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu menang 3-1 pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2017.

Pada musim lalu pula, PKNP FC menewaskan Felda United dengan keputusan 2-1 sekaligus menyingkirkan The Fighters di peringkat suku akhir Piala FA.

Cemerlang di laman lawan, tetapi PKNP FC kecundang dua perlawanan bertemu Felda United di ‘gelanggang sendiri’ mereka iaitu tewas 1-4 di Stadium Shah Alam (2017) dan 0-1 di Stadium Batu Kawan (2018).

Pemain tumpuan

Ketangkasan Norazlan Razali ketika bertemu Selangor tempoh hari sudah pasti sekali lagi ditagih Nidzam Jamil pada pertemuan malam ini.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau menjadi antara nadi penting kepada kejayaan Felda United mencuri satu mata di Shah Alam.

Kelibat Hadin Azman juga wajar dipandang serius oleh PKNP FC.

Sepertimana yang diketahui, kapten Felda United ini merupakan seorang pemain yang lincah dan mampu untuk memberikan masalah buat jentera pertahanan lawan.

Kalidou Coulibaly Yero bersama Renan Da Silva (jersi hijau) ketika perlawanan PKNP FC menentang Kedah, minggu lalu. Kredit foto: PKNP FC

Bagi PKNP FC pula, kelebihan fizikal yang dimiliki Kalidou Coulibaly Yero seharusnya digunakan dengan baik bagi memastikan beliau mampu berfungsi dengan lebih berkesan malam ini.

Sekiranya Yashir Armando Pinto Islame dan Hafiz Ramdan dapat menghasilkan bantuan dari sebelah sayap dengan baik, tidak mustahil Kalidou mampu untuk menjadi duri dalam daging buat Felda United.

Di samping itu, kemasukan Hafiz Kamal juga berupaya untuk menambah kreativiti di jentera tengah PKNP FC.

Ia dibuktikan apabila selepas Hafiz dimasukkan pada minit ke-71 ketika bertemu Kedah, beliau dilihat berjaya mengilhamkan beberapa peluang buat pemain serangan untuk mencipta jaringan.

Taktikal pasukan

Mohd Nidzam Jamil dijangka akan mengekalkan taktikal yang digunakan iaitu 4-3-3 dengan meletakkan harapan buat Jaycee John selaku penggempur.

S. Chanturu dan Hadin Azman bakal menggerakkan serangan dari bahagian sayap bagi memberikan lebih tekanan buat benteng PKNP FC.

Abu Bakar juga berkemungkinan besar akan terus menyandarkan harapan kepada taktikal 4-4-2 dengan gandingan Kalidou yang berketinggian 1.95 meter bersama G. Mugenthiran untuk merobek gawang Felda United.

Sebelum sepak mula

Kedua-dua pasukan mungkin tidak dibarisi dengan pemain nama besar, namun secara peribadinya penulis tidak melihat ia sebagai satu masalah buat Felda United dan PKNP FC bagi menyerlahkan kualiti yang dimiliki.

Dua kemenangan bagi setiap pasukan dalam empat pertemuan terakhir juga memperlihatkan tiada pasukan yang boleh dilabelkan sebagai pilihan untuk memperoleh kemenangan pada malam ini.

Mungkin ayat klise ini boleh dijadikan pegangan, ”pasukan mana yang kurang melakukan kesilapan, mereka akan keluar padang selaku pemenang.”

Kredit foto: Felda United & PKNP FC

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN